Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama sekutunya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan pelan perdamaian  menyelesaikan konflik Palestin-Israel mengecewakan masyarakat antarabangsa.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penetapan ibu negara Israel yang dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis bakal membuka peluang kepada rejim zionis bertindak sesuka hati untuk menindas penduduk Palestin.

Katanya, walaupun Trump menganggap pelan tersebut memenuhi ‘situasi menang-menang’ melalui penyelesaian dua negara hakikatnya tiada perdamaian yang akan tercapai.

“Hak rakyat Palestin akan terus dicabuli manakala tanah milik mereka akan dirampas secara zalim. Bahkan, inilah agenda licik Barat untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah asal mereka termasuk di Lembah Jordan.

“Sebaliknya, tindakan kejam Washington bersama Tel Aviv akan menyaksikan lebih banyak serangan berdarah berlaku selepas ini bagi menuntut hak rakyat Palestin yang telah ditindas oleh rejim Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Trump mengumumkan pelan perdamaian di Timur Tengah dengan berjanji untuk memastikan Baitulmuqaddis kekal sebagai ibu neara Israel yang tidak dibahagikan.

Beliau turut mencadangkan Palestin sebagai negara bebas dan mengiktiraf kedaulatan Israel di penempatan Tebing Barat.

Berdiri bersama Netanyahu di White House, Trump dilaporkan berkata, cadangannya “boleh menjadi peluang terakhir” bagi rakyat Palestin.

Namun, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menolak rancangan itu dengan menyifatkan sebagai “konspirasi”.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH berkata, pengisytiharan itu merupakan “Deklarasi Balfour Baharu” yang akan memusnahkan impian dunia untuk melihat sebuah rantau yang bebas dari sebarang konflik dan pergolakan berdarah.

Ujarnya, dunia harus bangkit menyatakan bantahan bagi mencegah lebih banyak pertumpahan darah berlaku.

“Tiada keraguan lagi bahawa pengumuman Trump dan Netanyahu itu bercanggah dengan pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Justeru, AMANAH bersama seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengajak dunia Islam, Timur dan Barat bersatu hati menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pengumuman tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast