Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bercakap kepada media diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye (kanan) selepas mendengar taklimat perkembangan terkini Kluster 2019-nCoV dan penularan wabak koronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Kementeri Kesihatan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkuarantin seramai 78 rakyat Malaysia sebaik sahaja mereka dibawa pulang dari Wuhan, China dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesemua warganegara Malaysia itu diasingkan kerana mereka telah terdedah kepada wabak koronavirus atau 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

“Ada Prosedur Operasi Standard (SOP), Dr. Suresh memang menjaga pesakit wabak ini, sebab mereka sudah terdedah dan kita kena pastikan mereka selamat

“Kita keluarkan mereka daripada persekitaran yang berbahaya itu. Balik sini, kita pun nak jaga orang kita, mereka dan juga kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media hari ini berkata, kerajaan akan berunding dengan China bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, Hubei secepat mungkin.

Menurut Mahathir, keputusan berkenaan dibuat hari ini dan Menteri Luar akan berunding dengan kerajaan China bagi tujuan itu.

Beliau berkata, ketika ini seramai 78 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dan ada antara mereka kekurangan makanan yang hanya mampu bertahan selama empat hari. – MalaysiaGazette