Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan boleh menasihati Kerajaan Negeri Kelantan dan negeri-negeri lain untuk menerima cadangan menghadkan umur perkahwinan daripada 16 kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, ia boleh dilakukan melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan dalam pertemuan dengan majlis-majlis agama negeri lain.

“Boleh (menasihati Kerajaan Negeri Kelantan). Kita memang ada perbincangan, ada banyak platform, satu daripadanya di bawah MKI dan satu lagi dalam pertemuan dengan semua majlis-majlis agama.

“Hubungan ini berterusan untuk berbincang dengan pihak negeri supaya menerima idea ini dan mereka kena bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan itu hak mereka untuk melakukannya,” kata beliau kepada pemberita di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan NGO Sisters In Islam baru-baru ini yang menggesa Kerajaan Persekutuan berbincang dengan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung idea had umur perkahwinan 18 tahun.

Dalam pada itu, Mujahid tidak menolak kemungkinan penyelarasan cadangan itu akan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini khususnya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH).

“Saya mengambil kira negeri di bawah kerajaan yang sama di peringkat pusat lebih mudah kita berunding untuk memastikan isu ini dapat diselaraskan.

“Kami letakkan sasaran (pelarasan had umur 18 tahun) pada pertengahan atau akhir tahun ini akan sempurna berlaku,” katanya.

Sebaliknya, bagi negeri-negeri lain di bawah Barisan Nasional (BN) dan Pas, pihaknya berusaha untuk meyakinkan bahawa idea itu baik kepada semua pihak.

“Bagi negeri-negeri mungkin bukan di bawah kita (PH), kita akan ambil pendekatan lebih kepada keperluan untuk meyakinkan mereka kenapa undang-undang ini baik.

“Kita telah pun berbincang dengan beberapa ulamak dalam muzzakarah bahawa ini termasuk dalam bab dipanggil mengharamkan yang mubah.

“Perkara itu harus, demi maslahah kanak-kanak yang kita dapati mereka selalu dieksploitasi kerana kepentingan untuk dapat duit daripada ibu bapa kerana miskin,” katanya.

Mujahid juga mengakui beliau mempunyai sedikit halangan dari segi kuasa penyelarasan cadangan itu kerana ia hanya tertakluk dalam Wilayah Persekutuan sahaja.

“Saya sebagai menteri agama, hubungan dengan negeri itu saya tiada kuasa nak buat undang-undang yang menghadkan umur atau pinda undang-undang yang menghadkan umur bawah 18 tahun, saya tiada kuasa.

“Perkara ini rumit, ia melibatkan soal kuasa negeri, kehendak politik dan tentunya peranan Raja-raja dan Sultan yang hakikatnya mempunyai kata pemutus kepada cadangan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nasihat apanya dah budak tu nak kahwin. apakah lebih baik biar dia berzina daripada bernikah. menjadi orang tua biarlah matang sikit otak fikirnya. bukanlah semua budak muda nak kahwin. ada yang takut kahwin tapi berani berzina.

Comments are closed.