Adanan Long tidak sabar bertemu anaknya Nurul Atiqah.

KUALA LUMPUR – Jika kelmarin Adanan Long terlalu risau memikirkan keadaan anaknya yang sedang menuntut di Universiti Shandong, China, namun hari ini beliau menark nafas lega apabila Nurul Atiqah selamat tiba di Beijing.

Penuntut tahun dua Sarjana Pengajian China dijadual berlepas pulang ke tanah air malam esok.

Adanan berkata, Atiqah tiba kira-kira 1.15 tengah hari tadi (waktu tempatan) dengan menaiki kereta api bawah tanah dari Jinan selepas rancangan awal untuk menaiki pesawat ke Beijing terpaksa ditukar apabila lapangan terbang di Jinan, Shandong ditutup.

Katanya perjalanan menaiki kereta api subway merupakan langkah terakhir biarpun anak sulungnya itu menyedari risiko yang bakal ditempuh berikutan penularan wabak 2019 novel koronavirus di beberapa wilayah di China.

“Biarpun berisiko, yang penting Atiqah keluar dari wilayah tersebut.

“Alhamdulillah anak saya dah selamat sampai di Beijing tengah hari tadi selepas bertolak dari Jinan yang mengambil masa dua jam. Atiqah beritahu dalam perjalanan dari Jinan ke Beijing, dia seorang saja penumpang dalam koc kelas pertama kereta api subway tersebut.

“Atiqah dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, Beijing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 9.55 malam esok, penerbangan yang mengambil masa lapan jam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nurul Atiqah, 26, merupakan penuntut tahun dua Sarjana Pengajian China sudah membeli tiket penerbangan ke Bangkok namun masalah timbul selepas Thailand tidak menerima penumpang dari China.

Adanan berkata dia akan ke Kuala Lumpur untuk menyambut Atiqah.

“Paling penting Atiqah selamat sampai ke Kuala Lumpur, sekiranya dia perlu dikuarantin tidak apa, kami reda. Kami sekeluarga berharap perjalanan Atiqah akan dipermudahkan,” katanya dipetik dari laporan Bernama hari ini.

Kelmarin Adanan ketika bercakap kepada MalaysiaGazette melahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan anaknya berikutan penularan wabak koronavirus di China.

“Risaunya dan sedihnya saya mengenang nasib anak di sana hanya Allah yang tahu. Sayu hati saya kerana tak mampu nak buat apa-apa bantu dia balik ke Malaysia,” kata Adanan yang tidak dapat menahan sebak.

Menurutnya lagi, Atiqah, 26, yang merupakan penuntut tahun dua Sarjana Pengajian China sudah membeli tiket penerbangan untuk transit ke Bangkok tetapi Thailand tidak menerima penumpang dari China.

Katanya, Atiqah memaklumkan untuk bergerak ke Beijing pada masa ini adalah berisiko, tetapi untuk terus tinggal di Jinan ketika ini juga rasa terancam.

Ini kerana, di Jinan juga kes kematian akibat koronavirus meningkat kepada 12 kes.

Atikah, bekas graduan Universiti Sains Malaysia adalah penerima biasiswa daripada Kerajaan China.

Artikel berkaitan: Kerajaan tolonglah bawa balik anak saya – Adanan

Adiknya, Farah Amalina berkata, ibunya berpesan supaya kakaknya bergerak ketika bukan waktu puncak bagi mengelakkan Atiqah terdedah kepada orang ramai.

“Mak dan ayah risau sungguh mengenangkan kakak di sana, jadi mak minta kakak keluar semasa keadaan tenang. Mak juga pesan kakak pakai penutup mulut dan hidung, bawa sanitizer sentiasa.

Artikel berkaitan: Doakan semoga perjalanan kakak selamat – Amalina

Beliau yang kerap berhubung dengan Atiqah sejak wabak koronavirus mengganas di China berkata, dari Beijing, Atiqah akan pulang ke Kuala Lumpur.

Amalina mengakui selagi Atiqah masih di sana, kehidupannya sekeluarga tidak tenang.

“Memanglah bukan kakak seorang sahaja rakyat Malaysia di sana, tapi siapa yang berada dalam situasi ini pasti dapat merasai kebimbangan kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast