Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sambil diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk menambah aset dan setakat ini 200 aset kenderaan pelbagai guna yang baharu telah diluluskan Kabinet.

Kesemua aset berkenaan sedang dalam proses penyerahan, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, peruntukan itu menggunakan bajet fasa pertama.

“PDRM sepanjang masa dalam situasi memastikan keselamatan negara terpelihara, maka PDRM memerlukan lebih banyak peruntukan untuk menambah aset yang sebahagian besarnya sudah lama.

“Selain itu bagi menjaga kebajikan anggota dan pegawai seperti perumahan dan membaiki lif bangunan, balai baru dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pengurusan pembangunan PDRM di Bukit Aman hari ini.

Kata beliau, kerajaan juga sedang mengkaji potensi penggunaan dron bagi tujuan pemantauan dan kawalan keselamatan di sempadan negara termasuk kawasan perairan Sabah dan Sarawak untuk membantu anggota polis marin dan Maritim Malaysia serta tentera darat dan laut.

“Kajian teliti tentang potensi penggunaan dron untuk memantau kawasan sempadan negara turut dibincangkan secara serius dalam Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

“Apabila selesai kajiannya nanti, kita akan memikirkan tindakan lanjut dalam cadangan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette