LONDON – Tottenham Hotspur secara rasmi telah berjaya mendapatkan Steven Bergwijn dari PSV Eindhoven untuk menghadapi baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pemain sayap itu mengikat kontrak selama lima tahun setengah bersama kelab utara London itu.
Bergwijn, 22, jelas teruja apabila impian untuk bermain di bawah kendalian pengurus idolanya, Jose Mourinho akhir tercapai.
“Ketika kecil, saya sering memandang tinggi kepada jurulatih seperti Jose Mourinho. Dan kini saya bermain untuk pasukannya.
“Saya mahu menjaringkan gol, memberikan bantuan gol dan memenangi Liga Juara-Juara bersama Tottenham Hotspur,” katanya di laman web kelab itu.
Bergwijn akan menyarung jersi bernombor 23 yang sebelum ini dipakai oleh Christian Eriksen yang kini menyertai pasukan Serie A, Inter Milan.
Sebelum ini, dia telah melakukan 149 penampilan dan menjaringkan 31 gol serta merangkul tiga gelaran Eredivisie bersama PSV Eindhoven.
Dia juga telah berjaya melakukan sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan Belanda sejak beraksi buat pertama kali pada Oktober 2018. – MalaysiaGazette