PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Khas Misi Bantuan Kemanusiaan ditubuhkan berkuatkuasa hari ini untuk membawa balik rakyat Malaysia yang berada di Wilayah Hubei, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan dengan kerjasama KKM, Kementerian Luar Negeri (KLN) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) termasuk agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan syarikat penerbangan Air Asia dan Malaysia Airlines (MAS).

“Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi meneliti perkara berkenaan keperluan membawa balik rakyat Malaysia dan keluarga yang berada di Wilayah Hubei, China,” katanya ketika sidang media harian mengenai perkembangan 2019 novel Koronavirus (nCov 2019) di Kementerian Kesihatan hari ini.

Tambah Dzulkefly, sehingga kini Kementerian Luar Negeri sedang mengumpul jumlah sebenar rakyat Malaysia yang akan dibawa balik.

“Pihak KLN juga masih meneruskan perbincangan dengan pihak kerajaan China untuk urusan bantuan tersebut,” ujarnya.