Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diiringi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua kiri) menyerahkan Anugerah Pelatih Terbaik kepada Muhammad Najmie Azaha (kanan) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks Bunga Raya KLIA, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kekerapan latihan bersama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di semua lapangan terbang utama negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kekerapan latihan bagi memantapkan persediaan membantu menghadapi sebarang kemungkinan aspek keselamatan di lapangan terbang.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada pihak pengurusan MAHB yang mempunyai kekuatan kewangan dan segala keupayaan untuk mempertimbangkan penambahan jumlah anggota keselamatannya yang merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kekuatan jumlah polis bantuan terbesar iaitu seramai 4,120 orang.

Menurutnya, jumlah itu menyokong keperluan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA serta balai-balai polis yang diwujudkan di semua lapangan terbang antarabangsa dalam mengawal, memelihara dan menjamin keselamatan pintu masuk utama negara.

“Selain membantu kelancaran sistem operasi penerbangan, polis bantuan MAHB juga melaksanakan tugas-tugas utama dalam menguatkuasa undang-undang, kawal keselamatan penumpang, mencegah jenayah dan menjamin keselamatan kawasan penerbangan.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama PDRM dan sekuriti penerbangan (AVSEC) IPD KLIA berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 10.84 peratus iaitu 74 kes pada tahun 2019 berbanding 83 pada tahun sebelumnya dan jenayah bukan indeks yang turut turun sebanyak 116 kes tahun lalu berbanding 118 kes tahun tahun 2018.

“Sejak tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia Amerika Syarikat 11 September 2001, kes kes lapangan terbang negara kita menjadi transit penyeludup dadah dan laluan keluar dan masuk kumpulan penganas, merupakan ancaman semakin meningkat seiring dengan kepesatan industri penerbangan,” katanya dalam ucapan penyempurnaan Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai Keselamatan Penerbangan MAHB di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim.

Tambah Abdul Hamid, dalam perkembangan sama kesemua situasi menuntut keperluan PDRM dan MAHB untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan penerbangan di semua pintu masuk udara.

Justeru katanya PDRM komited untuk bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang berada pada tahap terbaik demi meningkatkan keyakinan indeks penumpang di dalam dan luar negara.

“PDRM juga menghargai inisiatif MAHB yang menganjurkan beberapa siri eksesais ancaman keganasan di lapangan terbang sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya ancaman dalam industri penerbangan negara selain kursus dan latihan keselamatan penerbangan yang diadakan bersama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diiringi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua kiri) hadir pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks Bunga Raya KLIA, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

“Saya menasihati semua petugas di pintu masuk negara agar menjaga kesihatan dan mengambil langkah perlindungan sewajarnya dalam menghadapi koronavirus disamping menjauhi gejala negatif iaitu rasuah, penyalahgunaan kuasa penagihan dadah dan maksiat yang boleh merosakkan diri dan mengakis kepercayaan masyarakat terhadao institusi kepolisan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukrie dalam ucapannya berkata, seramai 17 pegawai berpangkat inspektor dan 249 anggota berpangkat konstabel yang bertauliah rasmi hari ini adalah usaha MAHB memperkasa tahap keselamatan dan kesiapsiagaan kesemua 39 lapangan terbang di bawah pengendaliannya.

Menurutnya, ia sejajar dengan inisiatif Malaysia Airports ke arah ‘Creating Happy Guests, Becoming Caring Hosts’ dalam memastikan bilangan pegawai dan anggota sentiasa mencukupi dalam pengoperasian keselamatan di lapangan terbang utama selain pematuhan piawaian antarabangsa ICAO) dan pengauditan oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) dan PDRM.

“Pengambilan skuad baharu menambah kekuatan jumlah anggota seluruh negara yang kini berjumlah 4,120 orang iaitu pecahan 258 pegawai dan 2,862 anggota keselamatan di semua lapangan terbang kendalian MAHB.

“Kesemua pegawai dan anggota menjalani latihan insentif tiga fasa bertempoh enam bulan selepas proses temuduga terbuka, saringan dan pemilihan yang mana fasa satu latihan adalah di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur selama sembilan minggu, fasa kedua melibatkan program latihan asas pengawal keselamatan selama sembilan minggu pada fasa kedua.

“Selepas itu mereka akan ditempatkan sementara di KLIA dan KLIA2 dalam program Latihan semasa kerja selama 8 minggu di fasa ketiga melibatkan modul latihan kepolisan, perundangan antarabangsa dan Malaysia Prosedur Operasi Standard (SOP) serta pelan kontinjensi tangani ancaman keganasan lapangan terbang,” katanya.-MalaysiaGazette