Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua individu yang disyaki menjadi dalang bagi membantu siasatan insiden provokasi dan ancaman yang dilakukan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Ulu Tiram, Johor semalam.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, usaha diteruskan untuk mengesan individu lain yang terlibat sama dalam insiden tersebut.

“Insiden tersebut dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan gagal menghormati undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa, kumpulan gangster berpakaian serba hitam yang berlagak gangster telah bertindak mengepung tempat pertemuan, memekik kata-kata kesat dan insiden tersebut turut disaksikan oleh ibu bapanya yang turut hadir semalam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan, Seksyen 355 Kanun Keseksaan, Seksyen 357 Kanun Keseksaan dan Sekssyen 506 Kanun Keseksaan.
Berikutan itu, KPN menyeru semua pihak agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak dengan apa juga cara yang boleh menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan ketidak ketenteraman awam.
Beliau turut meminta masyarakat tidak mempolitikkan insiden itu dan menyebarkan maklumat tidak berasas melalui platform komunikasi atau media sosial bagi mengelakkan ketidak ketenteraman awam tercetus. – MalaysiaGazette