Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu membuka semula kertas kabinet 2009 yang telah membuat keputusan muktamad memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau yakin keputusan kerajaan waktu itu adalah berasaskan kajian, pandangan awam dan juga dibahaskan di Dewan Rakyat.

Katanya, keputusan itu adalah demi masa depan anak bangsa dan kemajuan negara.

“Sekiranya Perdana Menteri ingin mengembalikan semula dasar PPSMI, perlu disokong dengan dapatan kajian baharu bagi mengelakkan flip flop policy yang akhirnya membantutkan perkembangan hala tuju pendidikan negara.

“Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, banyak isu berbangkit dalam sektor pendidikan gagal diselesaikan sehingga kemuncak peletakan jawatan menteri awal tahun lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berpendapat dasar PPSMI tidak perlu dibangkitkan sekarang, sebaliknya fokus kepada desakan DAP yang mengugut untuk meninggalkan kerajaan sekiranya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Ujar Ahmad Marzuk, isu UEC jelas bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta Pendidikan 1996 dan merobek keharmonian kaum.

“Tambahan lagi, keputusan untuk memperkenal tulisan Jawi tiga muka surat masih dibantah keras oleh Dong Zong sehingga hari ini.

“Lebih mengeruhkan keadaan, cadangan Dr. Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan telah ditolak oleh komponen PH.

“Ini menunjukkan isyarat jelas PH tidak ‘solid’ untuk mengemudi negara ke arah yang lebih baik. Jika ini berlaku maka kestabilan negara akan tergugat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast