Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali bergambar dengan sebahagian penduduk yang menerima bantuan pada Karnival Muhibbah bersempena Tahun Baru Cina peringkat PAS Wilayah Persekutuan di PPR Cochrane Perkasa, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah memusuhi mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menganggap penganut Hindu, Buddha dan Kristian seperti sahabat serta adik beradik.

Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr. Halimah Ali berkata, mereka tidak perlu takut kepada Pas kerana parti itu mengamalkan kebebasan beragama dalam organisasi politiknya, selain bersikap terbuka.

Beliau memberi contoh, kerajaan Pas Kelantan umpamanya, walaupun hampir 30 tahun memerintah negeri itu, tidak pernah berlaku sikap menindas dan menekan penganut agama lain.

Bahkan, katanya, patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan dan kuil Hindu di Kuala Krai tetap dijaga dan dikunjungi penganutnya untuk beribadat.

“Jangan takut pada Pas. Sungguhpun Pas parti Islam, tetapi dalam toleransi kaum, kita mengamalkan sikap terbuka dan kebebasan.

“Dalam Pas juga mempunyai sayap parti iaitu Dewan Himpunan Pendokong Pas (DHPP) yang mana ahlinya adalah Cina, India, Kadazan dan Iban pun ada,” katanya pada majlis perasmian Karnival Muhibbah PPR Cochrane di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima borang keahlian baru dalam kalangan bukan Islam menyertai Pas dan DHPP.

Dr. Halimah menasihatkan masyarakat bukan Islam agar tidak terpedaya atau terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang cuba menakutk-nakutkan mereka mengenai perjuangan Pas.

Katanya, mereka boleh melawat Kelantan dan melihat sendiri bagaimana harmoninya masyarakat berbilang kaum tinggal di negeri yang dipimpin oleh Pas.

“Perjuangan Pas ialah terbuka. Pas tidak memaksa orang lain jadi Melayu, begitu juga Pas tidak paksa orang bukan Islam masuk Islam.

“Jangan takut masuk Pas, ada penganut Hindu berjuang bersama Pas sejak sekian lama, sehingga hari ini mereka tetap penganut Hindu, begitu juga beragama Buddha.

Semua ini adalah adik beradik, tidak ada masalah budaya, bahasa mahupun agama. Jadi, jangan takut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast