KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan sebagai suatu yang melucukan apabila kumpulan liberal G25 yang mendakwa memperjuangkan segala bentuk kebebasan memilih untuk tidak menjawab kritikan ke atas mereka.
Sebaliknya, kumpulan NGO itu mahu menggunakan tindakan undang-undang ke atas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menutup mulut sekali gus menyekat kebebasan bersuara pihak yang mengkritiknya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jika itu keputusan yang diambil, kenapa tindakan sama tidak dilakukan ke atas tokoh lain seperti mufti yang lebih teruk mengkritik mereka.
Katanya, tokoh lain seperti Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman turut mengkritik kumpulan G25 itu.
“Mengapa mereka langsung tidak berani menyanggah kritikan Mufti ini kepadanya, dan apakah ini bermakna kritikan mufti ini adalah benar?
“Apakah G25 mempunyai agenda politik apabila memilih Abdul Hadi sebagai sasaran untuk diambil tindakan undang-undang?
“Saya menyeru seluruh umat Islam bangkit bersama Mufti dan Abdul Hadi dalam memelihara kesucian Islam dari serangan G25,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
G25 mengambil tindakan undang-undang berikutan terkesan dengan tulisan Abdul Hadi bertajuk, “G25: Membahayakan Akidah Umat Islam” yang ditulisnya pada 17 Januari lalu.
Dalam tulisan itu, Abdul Hadi menyatakan, kumpulan G25 dan segala gerombolannya lebih berbahaya daripada kumpulan Al-Maunah kerana ancamannya terhadap akal apabila akalnya tidak berpandukan syariat kitab Allah dan membahayakan akidah umat Islam yang terbawa akibatnya sehingga selepas meninggal dunia.
Menurut Dr. Khairuddin, berikutan tulisan itu, G25 pada 31 Januari lalu menuntut Abdul Hadi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kumpulan itu.
Mereka memberi alasan, gelaran G25 lebih bahaya daripada al-Maunah adalah fitnah dan perbuatan jenayah kerana ia boleh menghasut atau mencetuskan kebencian atau rasa tidak puas hati terhadap NGO itu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 503 dan 505 (c) Kanun Keseksaan.
G25 juga berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Abdul Hadi tidak mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka. – MalaysiaGazette
















