KUALA LUMPUR – Parti Putra Malaysia kini memasuki kubu kuat DAP dan PKR di Pulau Pinang dengan melebarkan pengaruhnya di Bahagian Bayan Baru.
Dengan kekuatan penyokong melibatkan dewasa dan anak muda termasuk wanita, Parti Putra Malaysia kini melengkapkan penubuhan ke seluruh negeri itu.
Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali ketika melancar dan merasmikan Putra Bahagian Bayan Baru berkata, beliau berasa gembira dan terharu dengan sambutan serta kehadiran khususnya anak muda ke majlis itu.
Katanya, beliau gembira kerana Putra Pulau Pinang semakin berjaya dari semasa ke semasa menambah keahlian dan sokongan.

“Tahniah kepada pimpinan Putra Pulau Pinang kerana hampir melengkapkan penubuhan parti ini di seluruh bahagian di Pulau Pinang.
“Saya harap Putra Pulau Pinang akan terus bersemangat dan maju demi perjuangan parti untuk agama bangsa dan tanah air,” katanya kepada Malaysia Gazette, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penyelaras Putra Pulau Pinang, Nasir Othman; Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hassan; dan Ketua penaja Putra Bahagian Bayan Baru, Arshad Kassim.
Bahagian Bayan Baru adalah bawah Ahli Parlimen PKR, Sim Tze Tzin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. – MalaysiaGazette
















