Liridon, 28 menerima MyKad pengenalan diri menerusi proses Neutralisasi selepas mengangkat sumpah dan disahkan sebagai warga negara Malaysia oleh JPN di Putrajaya pagi ini disaksikan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam pagi ini. Foto: FAM

KUALA LUMPUR – Program pengambilan pemain naturalisasi bagi memperkasakan lagi skuad kebangsaan, Harimau Malaya kini mengorak langkah apabila seorang lagi pemain tengah yang berasal dari Kosovo, Liridon Krasniqi yang secara rasminya telah pun menjadi warganegara Malaysia hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalinggam berkata, inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi ini mula dicetuskan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Katanya, ia seterusnya mula digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat – jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 pada 30 Mac 2019.

Liridon menjalani proses mengangkat sumpah di hadapan pegawai Jabatan Pndaftaran Negara sebahagian proses Neutralisasi untuk mengesahkan mendaftarkan pemain itu sebagai rakyat Malaysia dalam satu majlis ringkas pagi ini.Foto:FAM.

“Untuk itu, FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon telah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya hari ini.

“Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari 2020 kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada pertimbangan dan penelitian FIFA untuk menyegerakan dan melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

Liridon pemain tengah Kosovo meluahkan rasa gembira selepas menerima kewarganegaraan Malaysia menerusi pendaftaran myKad diri menggunakan proses Neutralisasi daripada JPN pagi ini dan tidak sabar menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi.Foto: FAM

Stuart menyatakan harapan tinggi bahawa kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti akan dapat memperkasakan lagi pasukan.

“FAM juga ingin sekali lagi berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini.

“Tahniah dan selamat maju jaya kepada Liridon,” kata beliau yang turut bersama menyaksikan proses pendaftaran dan pengesahan Liridon sebagai warga negara Malaysia yang sah.-MalaysiaGazette