KUALA LUMPUR – Kehadiran parti baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Baling, Kedah menerima sambutan di luar jangkaan dari penduduk daerah itu.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pada 45 tahun lalu beliau terlibat secara langsung dalam demonstrasi kebangkitan rakyat Baling pada tahun 1974 akibat isu kemiskinan.
Mengimbau nostalgia itu, katanya, ada satu keluarga mati keracunan makan ubi gadung beracun akibat kejatuhan harga getah pada masa itu dan rakyat hidup dalam kemiskinan.
Beliau yang ketika itu Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM) bersama kira-kira 10,000 rakyat Baling berhimpun mengadakan demonstrasi.
“Saya masih ingat sebuah kenderaan ditolak ke dalam sungai kecil berhampiran tapak jam di pekan Baling dan perhimpunan itu turut disertai mahasiswa yang sedang menjalankan aktiviti desa siswa musim cuti.
“Susulan kebangkitan rakyat Baling, PKPM menyambung demonstrasi besar-besaran di satu tempat di Kuala Lumpur, kini dinamakan Dataran Merdeka.
“Demonstrasi berlarutan tiga hari dan mahasiswa menjadikan Masjid Negara sebagai kubu perlindungan dari serangan gas pemedih mata,” katanya berucap pada ceramah perdana Putra Baling di Kampung Surau Memali Baling, dekat Kedah semalam.
Turut hadir, Ketua Penerangan Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaludin; Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan; dan Ketua Penyelaras Putra Kedah, Datuk Mustapha Idrus.
Cerita beliau lagi, perhimpunan itu berakhir dengan penahanan 12 pemimpin pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang mana beliau ditahan selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, dan mendapat ijazah peperiksaan tahun akhir di kem berkenaan.
“Ini antara rangsangan jiwa perjuangan saya termasuk menuntut Institut Teknologi Mara (ITM) ditukar kepada universiti. Akhirnya pada 1999 ia ditukar kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Kini saya kembali ke Baling bagi meneruskan perjuangan umat Melayu Islam dan Bumiputra di bawah obor Putra dan sambutannya seperti cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya.
Sejak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 8 Mei lalu, sebanyak 102 kawasan Parlimen berjaya mengadakan mesyuarat penubuhan bahagian, diikuti sayap Wira, Wiranita, Wirawati serta cawangan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara.
Kata Ibrahim, tidak ada ahli percuma dalam Putra dan setiap mereka wajib membayar yuran RM10 sebagai ahli seumur hidup sebelum menerima kad ahli.
Parti lain, katanya, sudah karam akibat sikap tidak bertanggungjawab kepimpinan Melayu yang menyaksikan Melayu bumiputra semakin terpinggir malah terhina serta terus mengemis di bumi sendiri.
Perlembagaan dinodai, malah ada kaum minoriti yang dahulunya berasal imigran kini menjadi tuan di bumi tanah Melayu.
Baling juga menurut beliau, mencatat banyak sejarah seperti pertemuan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan kominis Chin Peng di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera.
Jelasnya, Putra diambil dari hujung nama Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan sekolah Tunku Putra kerana dahulu perjuangannya menentang komunis adalah di hutan tetapi kini ideologi dan perjuangan itu dalam bandar yang sukar dikesan tetapi dapat dihidu dan dirasai.
Beliau juga menegaskan, perjuangan Islam dan Melayu bukan milik satu dua parti sahaja malah ada yang gagal dan karam kerana rasuah serta retorik seperti cakap lain buat lain.
“Ada parti bersekongkol dengan kumpulan yang jelas mahu menukar corak negara berdaulat dengan slogan Malaysia Malaysian dan secara terangan menjadi boneka kepada puak tidak menghormati Islam dan umat Melayu.
“Sebab itu Putra lahir dalam “debu” kekotoran politik Malaysia yang sudah mula berubah corak dan warna.
“Barisan nahkoda dan bahtera baharu yang tulen isi perjuangannya, nasionalisme Islam Melayu bagi menerus dan mengalas perjuangan yang makin getir demi kelangsungan umat Melayu Islam dan Bumiputera di bumi sendiri,” kata beliau.
Beliau berkata, isu lahir parti Putra menambahkan lagi perpecahan Melayu adalah persepsi dicipta pihak yang takut kepentingan parti mereka yang pecah atau kalah, kerana sebelum ini mereka yang mengagalkan umat Melayu Bumiputera.
“Apakah lahir Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak memecah belahkan Melayu? Kenapa tuduh Putra?
“UMNO yang berkuasa selama 63 tahun dan Pas berusia berpuluh tahun tidak memecah belahkan Melayu? Kata dulang paku serpih, sebenarnya mereka semua ini yang memecahbelahkan Melayu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, parti Putra akan bertanding di kerusi majoriti Melayu dan bumiputra iaitu pertandingan antara parti Melayu atau calon Melayu.
“Siapa menang adalah calon Melayu atau Bumiputra, tidak timbul Melayu pecah atau kalah kerana yang menang adalah Melayu. Pengundi Melayu mesti beri pilihan mahu Melayu dan parti Melayu mana.
“Sama ada Melayu hipokrit yang gagal, Melayu Islam yang retrorik atau Melayu boneka atau Melayu tulen yang mewakili Putra.
“Cuma mungkin Putra akan meletak calon di kawasan marginal majoriti pengundi Melayu, tapi calon dan parti bertanding bukan Melayu. Inilah strategi Putra pada PRU-15 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

















Tanding jgn x bertanding. Biar tewas di gelanggang pertandingan drpd menang di luar gelanggang sabung tp kampung dan maruah tergadai