MILAN – Daniel Maldini membuat penampilan pertama dalam perlawanan kompetitif bersama skuad utama AC Milan bagi meneruskan legasi keluarganya bersama kelab Itali itu.

Pemain berusia 18 tahun kini mengikut jejak ayahnya, Paolo dan juga datuknya, Cesare.

Dia yang beraksi di posisi tengah menyerang tersebut tampil sebagai pemain gantian pada masa kecederaan ketika pasukannya seri 1-1 ketika berdepan Hellas Verona di San Siro.

“Ia merupakan mimpi yang menjadi kenyataan, cuma saya agak kecewa dengan keputusan perlawanan. Kami harap perlawanan selepas ini tiga mata akan diraih,” ujar pemain yang menyarung jersi nombor 98 itu kepada media tempatan.

Paolo yang kini memegang jawatan Pengarah Teknikal AC Milan telah beraksi 647 perlawanan dalam Serie A untuk Rossoneri dan menjulang tujuh kejuaraan liga serta lima trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum menggantung but pada 2009.

Cesare pula merupakan bekas kapten Milan yang telah meninggal dunia pada 2016.

Dia telah mencatatkan rekod menjulang empat kejuaraan Serie A serta Piala Eropah sepanjang 12 musim sebagai pemain.

Cesare turut pernah menjadi pengurus pasukan.

Sementara itu, abang kepada Daniel, Christian yang kini berusia 23 tahun pernah mewakli Milan di peringkat remaja namun impian untuk mewakili skuad utama tidak kesampaian dan kini cuma bermain untuk kelab divisyen keempat Itali, SSD Pro Sesto. – MalaysiaGazette