KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mahu melihat lebih ramai pemain tempatan mengikut jejak langkah bekas pemain pasukan itu, Norshahrul Idlan Talaha beraksi di luar negara seperti di Liga Thailand.

Beliau mengakui kualiti yang ada pada pemain tempatan selain mutu liga di Malaysia semakin meningkat bakal menjadi faktor pendorong untuk pasukan luar mengintai perkembangan pemain negara ini.

Tambah bekas pengendali Harimau Malaya itu, penghijrahan pemain tempatan ke luar negara akan membantu meningkatkan  kekuatan skuad kebangsaan untuk jangka masa panjang.

“Kalau boleh, saya mahu lihat lebih ramai pemain kita dari liga kita ini keluar dan mungkin satu hari nanti boleh main di Jepun kerana semua orang mahu tengok pemain-pemain kita beraksi di tahap lebih tinggi.

“Semua orang tahu kita masih ketinggalan jauh dengan kuasa besar Asia seperti Jepun, Korea Selatan malah Arab Saudi dan kalau boleh tidak salah pemain kita keluar bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Di samping kita bergantung dan fokuskan kepada pemain naturalisasi, kita juga kena ingat kepada perkembangan pemain tempatan dan mahu melihat mereka ke tahap yang kita inginkan,” katanya kepada Malaysian Football League.

Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo memilih menyertai juara Thai League 2, BG Pathum United pada musim ini dengan kontrak selama satu tahun.

Penyerang kebangsaan yang berusia 34 tahun itu mengikut jejak langkah seorang lagi pemain Bawah 23 tahun, Dominic Tan yang kini bersama Police Tero FC manakala seorang lagi pemain tempatan, Zafuan Azeman bersama kelab Divisyen Tiga, Ang Thong FC.

Mengenai persiapan Pahang musim ini, Dollah mengakui skuad Tok Gajah akan menampilkan kelainan kerana akan mempertaruhkan ramai pemain muda yang diserao dari skuad Piala Presiden.

Antaranya Nik Sharif Hassefy, Nur Izzat Che Awang dan Hasnul Zaim yang dijangka menjadi bakat muda taruhan terbaharu bagi menampung ketiadaan beberapa pemain senior yang telah berhijrah seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Zubir Azmi dan Norshahrul.

Bekas pemain Kuala Lumpur, Hardee Shamsuri juga menjadi pilihan Dollah bagi memperkuatkan barisan tengah Pahang selepas kehilangan ramai pemain di posisi terbabit seperti Safuwan Baharudin dan Salomon Raj.

“Rata-rata pemain baharu ini adalah di Bawah 23 tahun dan untuk peringkat awal ini saya rasa mereka sangat selesa untuk beraksi dengan senior-senior.

“ Cuma saya harapkan mereka boleh tingkatkan lagi tahap permainan mereka bagi membentuk keserasian yang lebih baik dengan pemain senior sedia ada agar kami mampu beri cabaran lebih sengit kepada pasukan lain, ” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setuju dgn coach Dollah – seorang pemain akan menjadi lebih hebat sekiranya bakatnya sering digilap dan diberi peluang utk bermain.

    Mat Yoo merupakan pemain utama negara semasa berganding dgn Safiee Sali yg merantau ke Indonesia dan kemudiannya beliau sendiri berkelana ke Johor utk menyertai JDT.

    Dan mula lah kejatuhan tahap permainan Mat Yoo kerana beliau yg sering saja memanaskan bangku simpanan – pengurusan JDT terlalu utamakan kemenangan, dgn meletakkan awang import “bertaraf dunia” – mana terdaya Mat Yoo mengekalkan posisi penyerangnya.

    Kemudian beliau menyertai Felda dan Pahang di bawah coach Dolah yg mengilapkan semula bakatnya sehingga dapat kembali mewakili negara.

    Malah ramai pemain2 yg berraraf “bintang negara” didapati malap sinarnya selepas bermain dengan pasukan berkenaan. Malah terkial2 utk menempatkan diri mereka di pasukan2 lain selepas itu.

    Pasa pandangan saya:

    1. Pemain2 negara perlu berhati2 dengan pasukan2 yg terlalu “memetingkan” kemenangan. Silap2 bakat kamu akan “berkubur” ditelan kehebatan awang import.

    2. Demi pasukan negara… FAM perlu membuat peraturan agar setiap pasukan negeri yg mempunyai pemaun2 “berstatus negara” perlu mengutamakan perkhidmatan mereka di padang perlawanan.

    Tahniah Mat Yoo…..tahniah juga buat coach Dolah yg berjata memberi keyakinan semula kpd Mat Yoo……

Comments are closed.