Rizam Ismail

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor kecewa dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mengeluarkan kenyataan mendahului pucuk pimpinan parti.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, kenyataan Lokman itu boleh mendatangkan kerosakan dalaman parti yang lebih teruk daripada apa yang berlaku hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, dalam UMNO, setiap pendapat dan pandangan ahli diraikan tetapi bukan sehingga memporak-perandakan keadaan.

“Saya minta semua pihak akur dengan keputusan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sehingga pihak lain gagal memecah belahkan parti, baik dari dalam ataupun luar parti.

“Saya menyelar tindakan Lokman yang bersikap batu api. Dia sepatutnya mematuhi peraturan parti bukan membuat sebarang kenyataan yang mendahului kepimpinan.

“Saya amat kecewa kerana perbuatan dia itu telah menjatuhkan imej Ahmad Zahid sekaligus memberi kesan negatif kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan Lokman bahawa UMNO bukan sebuah parti yang lahir di jalanan tetapi dari perjuangan dan semangat citra politik orang Melayu yang mempertahankan negara daripada penguasaan penjajah.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar mahu Lokman jangan terbawa-bawa dengan budaya politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwanya tidak berdisiplin.

Beliau percaya keputusan parti akan memberi kebaikan bukan sahaja untuk ahli, malah kepada rakyat yang semakin hari ditekan dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dia bukan jadi “batu api” ler. Dia menghebahkan satu penemuan beliau yang pada fikirannya tidak sepatut dilakukan oleh seorang pemimpin – apa lagi jika makhlok berkenaan merupakan seirang presiden.

    Pada fikiran beliau.tindakan tersebut seolah2 mencari jalan utk menyelamatkan dirinya yg terpalit dgn kes2 mahkamah.

    Jadi, ini kah yg dimaukan?….

    Teringat aku tentang kesah saekor harimau huru hara kambing sekandang. Ini lah yg terjadi sekarang ini……. hehehehe.

Comments are closed.