Sharul Kamal Mustafa

KUALA LUMPUR – Merakam dan menyebarkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika dalam mesyuarat tertutup adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Lebih lagi perbuatan tidak bermoral itu dilakukan oleh Ahli Majlis (MT) Tertinggi UMNO yang bertujuan untuk mencetuskan kemarahan ahli terhadap pemimpin parti.

Aktivis UMNO yang juga Presiden Kelab Sahabat Media Selangor, Sharul Kamal Mustafa menegaskan, sebagai Ahli MT, Datuk Lokman Noor Adam sepatutnya membantu parti menarik sokongan dan sekali gus mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Sebaliknya, kata beliau, perbuatan itu ibarat ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘duri dalam daging’ yang akan merosakkan imej parti.

“Saya tidak berapa suka hentam pemimpin sendiri tetapi nampaknya Lokman ini semakin ligat. Akar umbi pilih dia menang bertanding MT bukan untuk buat kerja memburuk-burukkan kepimpinan parti, tetapi supaya membantu UMNO dalam mencapai kemenangan.

“Dan tindakannya menyebarkan rakaman suara Presiden semasa mesyuarat adalah amat tidak bermoral, apatah lagi sebagai seorang Ahli MT,” katanya.

Dalam kenyataan kontroversinya semalam, Lokman menyanggah beberapa alasan yang didakwa diberikan Ahmad Zahid yang mahukan UMNO bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Lokman mendakwa Presiden UMNO itu menyatakan alasan berkenaan pada mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional yang dipengerusi Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurut Sharul Kamal. dalam kenyataan Ahmad Zahid itu, beliau menyatakan akan membawa kepada mesyuarat MT untuk mengambil keputusan kerjasama dengan Mahathir

“Jelas sekali presiden tidak membuat keputusan sendiri dan ini diakui oleh seorang lagi MT iaitu Datuk Armand Azha Abu Hanipa,” katanya.

Beliau mendedahkan, sebelum PRU 13, Lokman ketika menyampaikan ucapan dalam ceramah sering kali menceritakan hal Anwar ketika dalam tahanan dan keluar penjara.

“Boleh dikira berapa kali sahaja Lokman menghentam Anwar. Adakah selama ini beliau berceramah dengan mewiridkan nama Anwar hanya semata-mata untuk rakyat tidak melupakan Anwar yang ketika itu kian kelam namanya di persada politik tanah air?

“Malah, beberapa tindakan Lokman lihat tidak boleh diguna pakai sebab modus operandinya semua orang tahu,” katanya.

Sharul Kamal turut mengulas pendirian Pas mengenai kes itu, yang padanya parti itu menolak segala usaha untuk menjatuhkan Mahathir sebagai perdana menteri tetapi tidak bermakna untuk bersamanya membentuk kerajaan.

“Itu yang saya tahu dan Ahmad Zahid pula kata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MT Jumaat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast