Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA РKementerian Kesihatan hari ini mengesahkan  insiden seorang warga Kanada dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disyaki positif koronavirus.

Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya kini menunggu laporan dan pengesahan dari HKL berhubung status kesihatan wanita berusia 17 tahun itu.

“Saya pun baru dapat maklumat mengenainya. Saya kira pasukan HAZMAT (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) datang dengan pakaian yang lengkap dan berjaga-jaga.

“Pesakit telah dibawa ke HKL dan kami akan dimaklumkan perkembangan mengenai kes itu nanti.

“Apa pun kami akan terus berkomunikasi dengan pihak di sana (positif atau tidak wabak koronavirus),” katanya pada sidang media perkembangan terbaharu Kes Koronavirus hari ini.

Dzulkefly menjawab pertanyaan wartawan selepas mesej tular mengatakan seorang warga Kanada didapati pengsan di lot parkir kereta Pusat Perubatan Menara Berkembar (TTMC) Petronas (KLCC) pagi tadi kerana disyaki positif koronavirus.

Gambar daripada mesej tular mengatakan seorang warga Kanada didapati pengsan di lot parkir kereta kerana disyaki positif koronavirus yang dihantar ke HKL.

Malah turut disertakan maklumat dalam mesej viral itu foto-foto pasukan HAZMAT dan anggota polis kelihatan barada di Menara 3 Petronas dan bangunan KLCC hari ini.

Difahamkan HAZMAT bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada TTMC yang memaklumkan seorang individu disyaki positif koronavirus. – MalaysiaGazette