Balu dan empat orang anak pemuzik terkenal tanah air, Allahyarham Faizal Uzir atau dikenali sebagai Lok- U menerima faedah Pencen Penakat setiap bulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Jamariah Yusof, 40, dan semua empat anaknya yang masih belajar itu akan menerima RM1,266 setiap bulan atas caruman suaminya secara aktif ketika bekerja dengan Petronas sebagai pemain piano sejak tahun 1998 hingga tahun 2006.

Beliau dimaklumkan oleh wakil Skuad Prihatin Perkeso yang hadir ke kediamannya hari ini di Puncak Jalil, Seri Kembangan hari ini.

Ketika ditemui, Jamariah bersyukur kerana hasil caruman lapan tahun arwah suaminya sebelum menjadi pemuzik bebas akhirnya dapat membantunya, apatah lagi dalam keadaannya dirinya yang tidak bekerja.