Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap kepada media selepas Majlis Ramah Mesra dan Perhimpunan Bulan Februari Kementerian Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan tidak akan mencampuri urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu rasuah membabitkan syarikat penerbangan AirAsia.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebagai badan bebas, SPRM boleh melakukan siasatan tanpa gangguan termasuk semua transaksi melibatkan Airbus SE, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd.

“Saya fikir itu adalah tugas SPRM untuk memeriksa transaksi mereka.

“Ia bukan kuasa kita tapi kuasa SPRM untuk ambil tindakan sewajarnya.

“Terpulang kepada SPRM, sebab dia badan bebas, dia bebas buat siasatan. Kerajaan tidak akan campur tangan,” katanya kepada pemberita di kementerian, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Ketua Pegawai Eksutif Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif Datuk Kamarudin Meranun mengumumkan melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan AirAsia selama dua bulan berkuatkuasa serta-merta.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan pelepasan tersebut dibuat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam urusniaga dengan Airbus.

Ia susulan siasatan yang dijalankan UK Serious Fraud Office (SFO) mengenai dakwaan AirAsia terlibat menerima rasuah daripada Airbus.

Laporan itu menyatakan Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua eksekutif berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.