Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangannya berhubung sabitan dan hukuman terhadap seorang lelaki kurang upaya (OKU) atas cubaan membunuh diri di Kuala Terengganu kerana tertuduh dijatuhi hukuman tanpa diwakili oleh peguam.

Sejak tahun 2019, kerajaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang menunjukkan niat untuk memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah dengan membuat pindaan kepada Seksyen 305, 306 dan 309 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kerajaan menjangka membentang Rang Undang-undang ini pada pertengahan tahun 2020.

Oleh yang demikian, Suhakam percaya penahanan dan pendakwaan terhadap OKU tersebut tidak sepatutnya dilaksanakan.

“Tindakan membunuh diri merupakan pilihan terakhir bagi mereka yang mengalami tekanan emosi dan merasa bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain.

“Suruhanjaya percaya bahawa mereka yang terselamat dari cubaan membunuh diri harus diberikan sokongan dan pemulihan yang diperlukan daripada dilayan seperti penjenayah,” katanya.

Sehubungan itu, Suhakam mahu Peguam Negara mengkaji semula kes ini dan merujuknya ke Mahkamah Tinggi agar sabitan ini diubah.

Malah suruhanjaya itu turut menyokong Mahkamah Tinggi mengkaji semula sabitan melalui usulnya sendiri.

“Suhakam juga menyokong seruan Majlis Peguam Malaysia agar kes yang melibatkan cubaan membunuh diri diberikan moratorium sehingga Kanun Keseksaan dipinda sebagaimana yang dilaksanakan terhadap hukuman mati mandatori,” ujarnya.

Baru-baru ini Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang lelaki OKU yang mengaku bersalah cuba membunuh diri dengan menjerut leher menggunakan tali nilon.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menggantungkan diri dengan tali nilon pada siling di sebuah rumah di Kuala Nerus pada jam 10.10 malam, 23 Disember lalu akibat tekanan hidup.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hukuman penjara terhadapnya berkuatkuasa bermula tarikh tangkapan iaitu pada 23 Disember lalu. – MalaysiaGazette