Datin Seri Rosmah Mandor

KUALA LUMPUR – Hari ini masuk hari ke-2 perbicaraan kes rasuah RM194 juta melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Walaupun semalam isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu kelihatan tidak begitu bermaya, beliau kelihatan tenang dan sempat tersenyum kepada para pengamal media dan orang yang berada kompleks mahkamah.

Ketika ditegur, Rosmah yang tersenyum berkata  ‘OK’.

Rosmah berdepan dengan tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar di kawasan luar bandar di Sarawak.

Sebelum ini Rosmah mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu Jepak Holdings Sdn, Bhd. mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Semalam, mahkamah didedahkan tentang tindakan Saidi yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings membuat pengeluaran wang sebanyak RM6.5 juta dalam bentuk tunai dari akaun banknya pada 2016 dan 2017.

Saksi kedua pendakwaan yang juga bekas Ketua Juruwang Maybank cawangan Medan Tuanku, Azimah Aziz, 38, dalam keterangannya berkata, pengeluaran wang tunai itu masing-masing dilakukan pada 20 Disember 2016 dan 7 September 2017.

Azimah berkata, pada 19 Disember 2016, beliau mendapat maklumat daripada salah seorang Penasihat Kewangan Peribadi Maybank bahawa Saidi ingin membuat pengeluaran wang tunai sebanyak RM5 juta.

“Sebelum saya serahkan wang itu kepada Saidi, saya ada bertanyakan kepada beliau berkenaan tujuan pengeluaran.

“Dia hanya menyatakan mengeluarkan wang itu bagi tujuan perniagaan. Memandangkan beliau kelihatan enggan berkongsi lebih berkenaan tujuan berkenaan, saya tidak bertanya panjang,” katanya.

Pada prosiding sama, Azimah berkata, Saidi membuat pengeluaran transaksi kedua sebanyak RM1.5 juta pada 6 September 2017,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam semalam.

Azimah yang kini bertugas di Bahagian Kiriman di bank sama berkata, Saidi menyimpan wang tersebut ke dalam beg yang beliau bawa sebelum beredar dari bank itu.

Perbicaraan akan bersambung pada pukul 10 pagi. –MalaysiaGazette

Doktor keluarkan surat cuti Rosmah disiasat SPRM