JOHOR BAHRU – Seorang ibu dan dua anaknya maut selepas motosikal ditunggangi mereka dihempap sebatang pokok kelapa sawit ketika melalui Lorong Haji Ayub, Jalan Batu Puteh, Batu Pahat, kira-kira 120km, dari sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, penunggang motosikal jenis Honda Wave, Nor Azhana Othman, 49, dan dua anaknya yang membonceng kenderaan itu, Siti Nurinsyirah Hasanuddin, 17 dan Muhamad Arif, 12, maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Md Nor berkata, kejadian dimaklumkan kepada pihaknya pada jam 8.47 pagi dan sejurus itu, 19 anggota dan dua jentera dari BBP Penggaram dan Batu Pahat telah digegaskan ke tempat kejadian.

“Mangsa dikatakan datang dari kawasan Parit Siba dan melalui kawasan tersebut dengan menaiki motosikal.

“Namun ketika sedang melalui jalan terbabit, tiba-tiba sebatang pokok kelapa sawit yang berketinggian 7.62 meter dan dua meter ukur lilit menghempap mereka, mengakibatkan semuanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan semua mangsa dari bawah pokok sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim, yang dihubungi Bernama, berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama