Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan masuk mana-mana rumah lain, sebaliknya membina rumah sendiri dengan pintu sedia dibuka, kata Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, setakat ini, parti itu dan Pas saling merujuk dan berpegang kuat kepada perjanjian yang dimeterai (MoU) dalam Piagam Muafakat Nasional (MN).

Kata beliau, apa sahaja perkara asas walaupun pendekatan berbeza akan dibincangkan bersama untuk capai kesepakatan.

“MN semakin utuh, UMNO dan Pas sudah sepakat apa sahaja perkara melibatkan hal asas walaupun pendekatan kedua parti mungkin berbeza, akan ditangani bersama.

“Yang pasti, kedua parti ini saling merujuk dan berpegang kuat pada MoU Piagam MN,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Piagam MN dimeterai oleh dua presiden parti, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas pada 14 September 2019.

Berikut adalah kandungan Piagam MN sebagai tanda termeterainya kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas.

“DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

DENGAN IZIN ALLAH SWT, sesungguhnya UMNO dan Pas dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Maka dengan ini, UMNO dan Pas, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI DAN DATUK SERI ABDUL HADI AWANG – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bila agaknya Annuar Musa pula Di buang dari MT Umno kerana kenakalan dia Di belakang tabir.
    Rakyat mendengar dan rakyat memerhati segala tidak tanduk anda.
    Harapan Pegar
    Pegar Makan padi.
    Harapan Ketua yang Amanah
    Dia buat hal lagi.
    Bila mau berhenti dari jadi perosak…….
    The truth is out there and
    The truth is already known.

Comments are closed.