Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

SHAH ALAM – Felo Akademik Universiti Utara Malaysia, Muhammad Muzzammil Ismail hari ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu nanti.

Muhammad Muzzammil, 30, yang merupakan Exco Armada Nasional membuat pengumuman berkenaan di Majlis Pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia di sini hari ini.

Katanya beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan kerana merasakan Armada kini mengalami gelombang penolakan oleh anak muda dan memerlukan barisan pimpinan yang mempunyai hala tuju jelas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Matlamat utama saya adalah untuk menaikkan kembali nama dan jenama Armada agar ia kembali menjadi pilihan anak muda seperti mana ketika sebelum PRU ke 14 lepas.

Dengan pengumuman berkenaan ia menjadikan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum ini mengumumkan akan mempertahankan jawatannya itu bakal berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua pencabar, yakni Muhammad Muzzammil dan Ketua Cawangan Armada Seaview Park, Pulau Pinang, Razalif Mohd Zain, 30.

Syed Saddiq adalah Menteri Belia dan Sukan, yang juga Ahli Parlimen Muar.

Majlis hari ini turut menyaksikan seorang lagi Exco Armada Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin, 31, mengumumkan jasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Armada.

— BERNAMA