Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pengguna-pengguna tol PLUS perlu membayar lebih meskipun kadar penurunan lebuh raya itu diturunkan sebanyak 18%.

Ini kerana, rakyat terpaksa membayar tol tambahan sebanyak 72% selama 20 tahun hingga 2058, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Menurutnya, contoh pengiraan yang dibuat oleh DPIM adalah berdasarkan caj tol sebuah kereta persendirian perjalanan pergi balik dari Sungai Besi, Selangor ke Skudai, Johor sebanyak sekali sebulan.

Berdasarkan pengiraan tersebut, seorang rakyat Malaysia membayar sebanyak RM17, 496 di bawah dasar Kerajaan Barisan Nasional, manakala membayar sebanyak RM26, 594 di bawah dasar baru Kerajaan Pakatan Harapan.

Dakwanya, rakyat akan membayar lebih RM9,000 di bawah dasar baru negara walaupun dijanjikan kadar tol tidak akan dinaikkan.

“Oleh itu, bagaimanakah bayaran lebih RM9,000 ini menguntungkan rakyat? Hanya YB Tony Pua, YB Lim Guan Eng dan Kerajaan Pakatan Harapan boleh berikan penjelasan,” katanya.

Shahir berkata, Tony seolah-olah bermimpi di siang hari kerana gagal memasukkan formula lanjutan 20 tahun ke dalam pengiraan diskaun 18%.

“Memang diskaun tersebut bagus untuk rakyat jika konsesi tol tersebut tidak dilanjutkan dan tamat pada 2038. Malangnya, rakyat terpaksa membayar tol tambahan sebanyak 72% ini selama 20 tahun hingga 2058.

“Secara automatik, janji menghapuskan tol dalam manifesto PRU-14 telah berkubur,” ujarnya.

Shahir berkata, kerajaan seharusnya membiarkan tempoh konsesi sedia ada berakhir seperti dijadualkan dan boleh menyalurkan wang peruntukan kerajaan untuk tujuan pengambilalihan konsesi kepada usaha-usaha memperbaiki dan memperluaskan akses pengangkutan awam secara lebih menyeluruh.

Secara langsung, wang peruntukan kerajaan digunakan dengan sebaiknya untuk membantu lebih besar golongan masyarakat, terutama golongan B40.

Katanya, DPIM melihat dasar baru tol hari ini telah memberikan lebihan kepada wang peruntukan kerajaan kerana tidak perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

Namun begitu, rakyat terus menanggung dasar lemah Kerajaan Pakatan Harapan sehingga tahun 2058. – MalaysaiGazette

1 Komen

  1. apa yang ph buat semuanya tak untong. yang najib buat saja untong. tiap tiga tahun tol naik 5% lagi untong. ada rakyat nampak ke tidak. pru nanti kena ambil najib balik jadi pm. rakyat banyak dapat untong. hutang satu trilion pun boleh tutup. rakyat untong. tabung haji nayar deviden lebih dari duit baru masuk pun rakyat untong

Comments are closed.