Liew Vui Keong

SAYA merujuk kepada kad laporan tahunan 2019 Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong.

Baca Kad Laporan sepintas lalu, panjang lebar tetapi tiada apa-apa yang signifikan mengenai pembaharuan undang-undang di Malaysia. Hampir genap dua tahun 21 bulan selepas menawan Putrajaya, Kerajaan Pakatan Harapan masih gagal menunaikan Janji 27 Manifesto Pakatan Harapan iaitu memansuhkan undang-undang yang zalim seperti Akta Hasutan 1948 , Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan hukuman gantung mandatori dalam semua akta.

Menteri tidak faham isu penyakit mental dalam konteks cubaan bunuh diri

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan sabitan seorang orang kurang upaya (OKU) yang dijatuhi hukuman 6 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas kesalahan cubaan bunuh diri. Dilaporkan OKU tersebut melakukan tindakan itu akibat tekanan hidup pada 23 Disember tahun lalu.

Liew berkata, kerajaan sedang mengkaji mekanisme alternatif yang bersesuaian digunakan di negara ini bagi menangani masalah kesihatan mental, sebelum pemansuhan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah dibentangkan.

Sebenarnya , kenyataan tersebut tidak begitu masuk akal walaupun ia disambut baik oleh pelbagai pihak. Menteri tidak jelaskan maksud “mekanisme alternatif yang bersesuaian bagi menangani masalah kesihatan mental”. Adakah ini bermaksud
kerajaan Malaysia akan terus menghukum mereka yang cuba bunuh diri akibat kegagalan kerajaan untuk menawarkan mekanisme rawatan kesihatan mental? Ini tidak masuk akal sama sekali.

Tambahan pula, perkhidmatan rawatan kesihatan mental disediakan di semua hospital besar kerajaan. Kenyataan Menteri menunjukkan seolah-olah tiada  sebarang konsultasi diadakan antara pemegang taruh seperti Kementeri Kesihatan Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kesihatan mental.

Perbicaraan cubaan bunuh tidak membawa kebaikan kepada kepentingan awam, malah menambah stigma negatif terhadap penyakit mental. Liew telah mengumumkan hasrat Putrajaya untuk decriminasi cubaan membunuh diri di Parlimen seawal 15 October 2019. Namun, pendakwa raya masih meneruskan
dakwaan terhadap OKU tersebut sehingga dipenjarakan.

Walaupun Liew gemar memberi pendapat terhadap sistem pengadilan jenayah Singapura, namun negara jiran tersebut jauh lebih efisien dalam proses pembaharuan undang-undang. Kerajaan Singapura telah memansuhkan kesalahan cubaan bunuh diri dalam undang-undang mereka berbanding dengan kedudukan Malaysia yang sekian lama masih dalam kajian.

Isu Pemansuhan Hukuman Mati

Seawal bulan September 2018, Liew bersetuju terdapat keperluan untuk menyemak semula kes Muhammad Lukman yang dijatuhkan hukuman mati keranan memproses dan mengedarkan minyak kanabis (ganja). Pada 10 Oktober 2018, selepas menghadiri Bual Bicara Reformasi Undang-undang di Universiti Malaya, Liew secara mengejut telah mengumumkan hukuman mati akan dimansuhkan sepenuhnya.

Beliau juga menyatakan semua kertas kerja di peringkat akhir dan Rang Undang-undang (RUU)akan dibentangkan kelak pada Oktober 2018. Pada bulan Mac 2019, Liew menukar fikirannya. Hukuman mati tidak akan dimansuhkan untuk kesemua kesalahan. Sebaliknya, hakim akan diberi budi bicara
mengikut fakta kes. Pada bulan Oktober 2019, sekali lagi RUU memansuhkan hukuman mati ditundakan ke bulan March 2020.

Alasannya ialah laporan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati masih belum siap. Persoalannya ialah kenapa kerajaan hanya menubuhkan Jawatankuasa tersebut pada bulan September 2019 sedangkan telah mengumumkan kertas kerja telah di peringkat akhir pada tahun 2018. Perkara yang amat menghairankan ialah penubuhan jawatankuasa khas ini telah disenaraikan sebagai salah satu pencapaian kad laporan 2019.

Saya tidak pasti apa yang terjadi terhadap janji manis Yang Berhormat Menteri untuk menyemak semula kes Lukman. Namun, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan hukuman pada bulan November 2019.

Pembaharuan Sistem Keadilan Jenayah

Liew seolah-olahnya lebih menumpukan perhatiannya kepada hukuman gantian yang bersesuai dengan kesalahan serius. Beliau jelas mengabaikan isu-isu penting lain dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.

Daripada sibuk memperkenalkan teknologi “artificial intelligence” (kecerdasan buatan) atau AI untuk menghukum penjenayah, lebih baik Pak Menteri fokus mempercepatkan proses perbicaraan mahkamah. Kes pesara tentera Kapten Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang lebih dikenali sebagai Doktor Ganja masih dalam peringkat bicara walaupun telah lama ditahan sejak Mei 2017.

Sistem Bantuan Guaman di Malaysia

Jabatan Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berfungsi menawarkan bantuan guaman kepada golongan berpendapatan rendah. Tiada mana-mana bahagian Kad Laporan Menteri Undang-undang menunjukkan
komitmen untuk menambah baik system bantuan guaman di Malaysoa. Tumpuan Liew jelas amat berbeza dengan Menteri Undang-undang Barisan Nasional sebelum ini.

Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri Undang-undang telah memperkasakan Akta Bantuan Guaman dan YBGK.
Harus diingati OKU yang dipenjarakan atas kesalahan cuba bunuh diri juga tidak diwakili oleh peguam. Ramai lagi golongan B40 yang dipenjarakan kerana tidak mendapat nasihat guaman yang bersesuaian. Apa kegunaan AI di mahkamah sekiranya tertuduh-tertuduh tidak mampu mendapatkan khidmat guaman.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Sebelum ini, Liew telah menyuarakan rasa jijiknya terhadap keprihatian Datuk Bung Mokhtar atas isu hak-hak Sabah dan Sarawak. Namun, adakah pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dapat diluluskan dan membenarkan hak Sabah dan
Sarawak dikembalikan menerusi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?

Pindaan perlembagaan Persekutuan memerlukan majoriti dua per tiga sokongan ahli Parlimen. Persoalannya ialah sama ada pak Menteri mempunyai sokongan daripada pihak kerajaan dan pembangkang. Masih segar dalam ingatan bagaimana Menteri beredar ke belakang tiang sewaktu Timbalannya membentangkan Rang Undang-undang bagi pihaknya di Dewan Rakyat. Liew juga tidak segan menyembunyikan bakat hiburannya dengan tarian atas pentas sebaik Warisan kalah di PRK Kimanis.

Menteri Undang-undang Malaysia Baharu haruslah serius, efisien dan berani membuat perubahan positif demi kemajuan negara. Kad tahunan Menteri haruslah memberi tumpuan yang lebih kepada kesejahteraan rakyat. Cukuplah dengan janji-janji manis dan pusingan-U.

Hafiz Zamani, pemerhati politik

1 Komen

  1. mungkin tak cukup 2/3 diparlimen lah tu. susah kerajaa. nak ubah. pembangkang tak nak sokong bukan kerana tak baik. tapi tak sokong kerana dendam. dengki. penyakit semula jadi pembangkamg malaysia.

Comments are closed.