Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan telah meluluskan 6 juta permohonan e-Tunai Rakyat sehingga semalam yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM180 juta dengan setiap seorang menerima RM30.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, dengan tawaran tambah nilai oleh syarikat pengendali swasta, penerima e-Tunai Rakyat mendapat sekurang-kurangnya RM60 untuk membeli-belah.

“Jumlah ini tentu digandakan dan sedikit-sebanyak dapat menyumbang kepada jumlah pembelian dan juga pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 kerajaan mengumumkan pelaksanaan program e-Tunai Rakyat yang bertujuan menggalakkan pembayaran digital dengan lebih meluas dalam kalangan rakyat.

Sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan dalam program tersebut.

Menurut Guan Eng, kerajaan berharap dapat menarik 15 juta rakyat Malaysia yang berumur lebih 18 tahun dan mempunyai pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun menyertai program tersebut.

Tambah beliau, sehingga kiniĀ  seramai 16,182 pedagang dan peniaga tambahan telah mendaftarkan dan ia merupakan perkembangan yang amat menggalakkan. – MalaysiaGazette