IPOH – Seorang wanita warga emas orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan dan pekak maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Ara Payung, Batu Gajah dekat sini tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran melibatkan mangsa dikenali sebagai Alang Halimah Amban, 70, pada pukul 1.11 tengah hari dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri di rumah.

“Wanita itu ditemui terbaring di lantai bahagian dapur dan anggota bomba berjaya membawanya keluar ketika api sedang marak.

“Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba pada pukul 1.45 tengah hari dan punca kebakaran masih belum dikenal pasti,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana terhidu asap tebal kebakaran. – Bernama