Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Pertandingan Akhir Debat MFLS di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihak polis akan mengambil satu tindakan dalam masa terdekat susulan kekecohan dalam program Armada Bersatu Johor, di Ulu Tiram, 31 Januari lepas.

Menurut Ketua Armada Bersatu itu, beliau difahamkan terdapat beberapa individu sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Pihak polis telah pun memanggil beberapa orang saya difahamkan telah pun direman dan dimaklumkan akan ada tindakan susulan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PDRM khususnya kepada Tan Sri Abdul Hamid Bador kerana sangat proaktif untuk memastikan bahawa keadilan itu milik semua,” katanya kepada pemberita di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras, hari ini.

Pada 1 Feb lepas, Syed Saddiq berkata kumpulan tidak diundang seramai kira-kira 200 orang tiba-tiba muncul di majlis rapat umum yang dihadirinya itu dan melakukan provokasi.

Artikel berkaitan: Dikepung gangster upahan, Syed Saddiq terpaksa lompat pagar

Syed Saddiq menjelaskan beliau terpaksa mengalah dan melompat pagar serta menggunakan ‘jalan tikus’ untuk mengelak kumpulan ‘penyerang’ berkenaan selepas dinasihat penganjur dan polis.

Polis kemudian menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast