Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

KUALA LUMPUR – Usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang akan dicadangkan Pas pada sidang Parlimen Mac ini dilihat sangat wajar dan bertepatan dengan klimaks politik terkini negara.

Ini kerana kecelaruan dan ketidakstabilan itu harus diperbetulkan malah ketidakstabilan politik berpanjangan akan merugikan negara terutama dari segi pembangunan, ekonomi, kehidupan sosial seharian rakyat dan pertumbuhan jangka panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi, isu peralihan kuasa digembar-gemburkan sekarang sebenarnya tidak harus berlaku dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad wajar diberi peluang untuk mentadbir negara sehingga habis penggal.

Namun, kata beliau, isu itu sudah menjadi permasalahan kepada negara dan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat hingga mengusutkan lagi keadaan.

“Kita tidak mahu ia menjadi beban dan menyebabkan negara menjadi kucar kacir kerana kuasa adalah kemuncak segalanya. Kuasa pemerintahan negara harus diletakkan pada tangan yang betul, pemimpin yang baik, benar dan jujur.

“Percakaran politik berpanjangan tidak akan menguntungkan sesiapa, malah lebih banyak mengundang masalah dan kekusutan politik sekarang juga mampu memberi kesan negatif kepada rakyat dan menjejaskan produktiviti mereka kerana terlalu memikirkan masa depan.

“Pas tidak mahu sistem pentadbiran negara menjadi kucar kacir akibat kekusutan politik ini, juga tidak mahu ada anasir luar mengambil kesempatan dengan ketidaktentuan politik negara sekarang seperti apa yang berlaku di banyak negara di dunia sekarang,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.

Muhammad Khalil yang merupakan mantan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat memberitahu, parti itu tidak mahu berlaku sabotaj mahupun tindakan luar jangka yang mampu melemahkan . Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Oleh itu, ujar beliau, Pas memberikan satu solusi bertepatan dengan keadaan politik sekarang kerana tidak mahu negara terjerumus dalam pelbagai masalah.

Katanya, apabila usul itu dikemukakan, rakyat mampu melihat dengan jelas siapa sebenarnya menyokong Perdana Menteri dan siapa tidak, terutama di kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Dengan usul ini kita mampu menjangkakan siapa berpura-pura menyokong dan mempunyai agenda belakang tabir untuk menjatuhkan Mahathir, kerana Parlimen adalah kemuncak kuasa dalam negara.

“Jika ada yang secara berselindung bertindak mencatur menjatuhkannya, sudah tentu mereka akan mengundi untuk tidak menyokong usul tersebut dan berkemungkinan mengemukakan usul susulan seperti undi tidak percaya kepada Mahathir,” katanya.

Beliau menjelaskan, di pentas Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang ini rakyat akan kenal siapa yang hipokrit dan siapa jujur.

Biar seluruh rakyat tahu siapa ahli parlimen mereka terutama daripada PH yang benar-benar menyokong Perdana Menteri atau tidak.

“Kerana jika tidak menyokong, mereka sebenarnya hanya berpura-pura menyokong Mahathir selama ini dan bolehlah dirumuskan mereka hanya menggunakan  Mahathir untuk agenda politik mereka.

“Sesudah berkuasa dan menjadi kerajaan, mereka sebenarnya sedang mencari jalan untuk mengeluarkan Mahathir dari PH mahupun kerajaan. Itulah yang boleh kita simpulkan jika usul undi percaya dilakukan dan melihat keputusannya.

“Saya pasti setiap pengundi mahupun rakyat tidak mahu wakil rakyat yang dipilih mereka bersikap bermuka-muka dan hipokrit. Jika dengan Mahathir boleh dilakukan, apalah sangat dengan rakyat biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jahatnya parti yg mrnggunakan nama agama ini…ulama Islam mana yg mereka rujuk???
    Atau amalan poliyik syiah Iran sebagai rujukan?

Comments are closed.