KUALA LUMPUR – Ahli  Parlimen Kuala Nerus menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa mana-mana perubahan dilakukan mengikut perlembagaan negara dan undang-undang negara adalah sah, sekalipun dilakukan melalui ‘tingkap’.

Ahli Parlimennya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perlembagaan dan undang-undang negara mahupun negeri tidak menghalang perubahan kerajaan walaupun melibatkan keseluruhan kerajaan seperti di Terengganu pada 1960 dan Perak 2009.

Malah, kata beliau, jika dilihat kepada pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak, Sabah dan Kedah selepas berakhir PRU 14, boleh dikira sebagai penubuhan kerajaan yang dilakukan mengikut ‘tingkap’ kerana tiada pemenang muktamad di tiga negeri itu.

“Di Sabah, kedudukannya adalah 29 kerusi Parti Warisan-PH dan 29 kerusi Barisan Nasional (BN) sehinggalah ADUN BN menyeberang.

“Di Perak, kedudukannya adalah 29 kerusi PH, 26 kerusi BN dan tiga kerusi Pas sehinggalah ADUN BN menyeberang.

“Di Kedah, kedudukannya adalah 18 kerusi PH, 15 kerusi Pas dan tiga kerusi BN sehinggalah ADUN BN menyeberang,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau berkata, dalam tiga keadaan itu, tidak kedengaran pun pihak yang sekarang lantang menyelar usaha untuk kononnya mewujudkan kerajaan pusat melalui pintu belakang ini bersuara mengecam amalan mewujudkan kerajaan negeri melalui pintu belakang.

Kata Dr. Mohd Khairuddin, jika perubahan kerajaan melibatkan pertukaran ketua kerajaan sekalipun adalah dibenarkan oleh perlembagaan dan undang-undang negara, apatah lagi perubahan kerajaan yang sama sekali tidak melibatkan pertukaran ketua kerajaan.

“Apa yang penting kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik seorang Perdana Menteri di bawah Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Negara yang wajib diakuri.

“Selagi mana pada hemat Yang di-Pertuan Agong seorang Perdana Menteri mungkin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Negara, maka beliau akan kekal sebagai seorang Perdana Menteri,” katanya.

Pemimpin Pas itu berkata, mengikut Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri juga boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan mana-mana menteri dan menggantikan mereka dengan menteri lain mengikut Perkara 43 (2) (b).

Katanya, inilah yang mahu dilakukan oleh Pas dalam sidang Parlimen 9 Mac ini, iaitu mengemukakan “Usul Percaya Terhadap Perdana Menteri” bagi memastikan Dr. Mahathir masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Jangan sesekali dikatakan ini perlakuan yang sia-sia, membazir masa atau tidak mengikut peraturan kerana ia amat penting bagi memastikan kestabilan negara dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, khususnya perkara 18 (1),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast