Dr. Ibrahim Ali

KENAPA Pas perlu bercadang mahu membawa usul percaya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya memegang jawatan Perdana Menteri sehingga PRU-15 pada sidang Parlimen Mac ini?

Alasan Pas, kerana politik negara kini tidak stabil dan disebabkan ada gangguan terhadap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, maka Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu perlu kekal sehingga PRU-15.

Betulkah alasan dan niat Pas itu? Atau Pas mempersendakan keupayaan rakyat berfikir? Alasan Pas untuk halang Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri kelapan dan menyekat kemaraan pengaruh dan kuasa DAP.

Bukankah Pas awal-awal lagi menyokong Anwar ketika parti itu bersama Pakatan Rakyat (PR)? Begitu juga dahulu Pas bersama DAP dalam PR. Paslah yang membuka flood gate untuk DAP makin agresif.

Manakala Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain, awal-awal sudah bekerjasama dengan musuh tradisi Melayu yang membawa DAP turut menjadi kerajaan.

Maka Pas nak siapa? Pelik parti ini. Harap rakyat, umat Melayu, Islam tidak lupa sejarah ini.

Mahathir sudah berkali-kali mengumumkan akan melepaskan jawatan selepas sidang APEC November nanti. Hanya 10 bulan sahaja lagi untuk memenuhi janjinya kepada Majlis Pakatan Harapan (MPH) dan Anwar sendiri.

Apa yang Pas gawat sangat setakat 10 bulan lagi dengan sehingga PRU-15? Apakah Pas busy body atau sibuk jaga tepi kain orang lain?

Lupakah Pas, parti Islam turut campur supaya seseorang tidak menunaikan janji, kecuali Pas bukan lagi parti Islam yang memegang teguh kepada ajaran Islam sehingga turut campur agar ada orang yang berjanji, tidak perlu tunai janji?

Patutlah selama ini Pas tidak memegang janji kepada rakyat Kelantan dalam banyak perkara yang dijanjikan, retoriknya akhirnya, bunyi guruh berdentum-dentum, tapi hujan tak turun. Sekarang nak mengajar orang lain pula. Ini amat lucu.

Tindakan Pas mahu membawa usul undi percaya kepada  Mahathir kerana ada udang di sebalik batu. Kepala sembunyi dalam pasir, punggung tertonggeng di luar, seperti sejenis haiwan di padang pasir. Pas sudah pandai makan keliling?

Tujuan Pas adalah untuk membodek Mahathir. Dahulu bantai Perdana Menteri itu sampai lumat. Samalah kerabat PH pun, kaki maki hamun Mahathir, dan Muhyiddin pun dahulu bukan main maki DAP.

Melihat pada gelagat semua ini, terang sudah 2 x 5 dan 5 x 2. Sama sahaja.

Kerana perangai samalah, Pas juga berperangai seperti yang lain. Pas sudah jelas bukan parti Islam. Ini dari dulu lagi Pas adalah parti yang memperalatkan Islam sahaja. Sifatnya samalah dengan parti-parti lain.

Tujuan apa Pas membodek Mahathir?

Pertama, kerana dakwaan Pas terima dana RM90 juta dari Datuk Seri Najib Razak? Pas dilihat begitu mewah semasa PRU-14? Bertanding di merata tempat, bendera dan sepanduk sama banyak dengan bahan kempen Barisan Nasional (BN). Jadi takut kena dakwa barangkali? Apa tidaknya rakaman “video Nik Abduh” menjadi kontroversi.

Pada masa sama, Pas Terengganu dan Kelantan tidak kreatif, beku pemikiran inovasi, maka perlu menuntut wang royalti dari kerajaan pusat untuk mentadbir negeri. Memanglah royalti hak negeri yang ada minyak.

Mahathir pun perlu sokongan, maka bagilah RM1.2 bilion untuk Terengganu dan RM400 juta untuk Kelantan. Ketika memegang jawatan Perdana Menteri keempat dulu, jauh langit dari bumi untuk Mahathir memberinya.

Jadi Pas menyelam sambil minum air

Di sebelah pihak Pas sokong Mahathir, dan sebelah pihak lagi membentuk Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO. Kiri kanan Pas untung.

UMNO pula sudah nazak, terpaksa terima dan bekerjasama dengan Pas. UMNO pula sekadar boleh bertepuk tangan, tetapi kerusi di Pantai Timur memberi keuntungan besar kepada Pas.

Pas tidak lagi rasa terancam dan kerusi DUN yang mereka menang di mana-mana menjadi milik Pas. UMNO kini menjadi penyokong Pas.

Di Malaysia Barat pula Pas tidak ada kekuatan membantu UMNO kerana sebahagian besar sudah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Pemimpin Pas Pusat mungkin tertekan dan iri hati kerana geng Mohamad Sabu dalam Amanah semua menjadi menteri dan timbalan menteri.

Gelisah sangat, sebab itulah Pas beriya main peranan hendak tubuh kerajaan Pakatan Nasional antara PPBM dan UMNO. Miang dan gatal nak jadi menteri seperti Mat Sabu barangkali?

Kerajaan Pas Kelantan mendapat sokongan UMNO dan merasakan kekuatan mereka tidak terancam lagi, sebab itu sanggup membeli kereta Mercedes-Benz untuk kegunaan menteri besar, timbalan menteri besar dan anggota exconya.

Kosnya dikatakan mencecah hampir RM9 juta dan ‘bonus’ RM50,000 seorang, walaupun rakyat Kelantan hidup dalam kemiskinan.

Cukai-cukai dinaikkan dengan berganda, tapi rakyat Kelantan terpaksa berhijrah mencari sesuap nasi untuk diri dan keluarga.

Bahagialah dengan undi percaya, semoga bukan sahaja Mahathir kekal Perdana Menteri hingga PRU-15 tapi pemimpin Pas juga dapat menikmati dunia sepuas hati seperti lain-lain parti dan pemimpin.

Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada umat Islam dan juga bumiputera agar tidak merempat di bumi sendiri. Selama mana umat Melayu Islam dan bumiputera dihayun menang sorak kampung tergadai.

Ulasan ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan untuk mana-mana pihak, hanya sekadar berkongsi minda di atas gelagat pimpinan Pas. Akhirnya, UMNO silap-silap sudah sakit, tapi mati terbujur pula.

Hati-hatilah wahai rakyat, jangan lagi bunyi guruh di langit, air di tempayang dicurahkan. Maaf, jika tersilap bahasa dan kata-kata. – MalaysiaGazette

Datuk Paduka Ibrahim Ali adalah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)