KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO tidak perlu masuk campur urusan atau pergolakan yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden Putra Malaysia, Datuk Hamidah Osman berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air, malah dunia sekalipun, pembangkang menentukan siapa Perdana Menteri.
“Pelik sungguh politik Malaysia ini. Pembangkang hendak bawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kalau macam itu, tidak perlulah jadi pembangkang,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.
Hamidah mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Sabtu lalu yang dilaporkan berkata, parti itu akan membawa usul undi percaya bagi menyokong kepimpinan Dr. Mahathir pada persidangan Dewan Rakyat Mac ini.
Usul tersebut adalah untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri sehingga tamat penggal pada 2023.
Ia bertujuan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara kerana masih terdapat banyak isu yang belum selesai.
Menurut Hamidah, rakyat semakin pening dengan mainan politik antara Pas dengan UMNO selepas memeterai Muafakat Nasional (MN) kedua parti itu pada September lalu.
Rakyat kini, katanya, tertekan dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi serta pelbagai dasar menyusahkan.
“Sepatutnya dengan masalah ini, Pas dan UMNO sebagai pembangkang ke depan membela rakyat, tetapi sebaliknya pula berlaku, apabila mereka menyatakan sokongan kepada Dr. Mahathir.
“Pelik tak? Nampak gayanya yang betul-betul buat kerja selaku pembangkang yang efektif adalah parti Putra,” katanya. – MalaysiaGazette
















