Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – UMNO meletakkan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai penentu sekiranya Pas membawa usul undi percaya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat Mac ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, akan berlaku dua situasi pada masa itu, sama ada peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan berjaya, atau Dr. Mahathir bakal jatuh.

Katanya, undi percaya itu diibaratkan sebagai pisau dua mata, iaitu sekiranya PH turut meluluskan, maka tamatlah peluang Anwar untuk menjadi perdana menteri.

“Tetapi, kalau tidak lulus, ia akan menjadi undi tidak percaya, yang bererti Dr. Mahathir akan jatuh.

“Kedua-dua ini melibatkan PH, sama ada PH menyokong atau tidak menyokong usul undi percaya itu, PH akan tentukan,” katanya dalam ciapan Twitternya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mengkaji bersama Pas mengenai usul itu dan akan memutuskan jika mempunyai keperluan.

Beliau turut menjelaskan, usul undi percaya ini sebenarnya merupakan peluang keemasan kepada PH untuk membuktikan segala semangat kerjasama parti berada dalam keadaan baik.

Mengikut kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sabtu lalu, usul itu akan dibawa pada persidangan Parlimen Mac ini, sebagai hasrat parti itu supaya Dr. Mahathir kekal Perdana Menteri selama satu penggal.

Malam ini, Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional antara Pas, UMNO akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan usul itu dijangka menjadi agenda utama perbincangan. – MalaysiaGazette