BEIJING – Jumlah kematian di China akibat koronavirus melepasi angka 1,000 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhati-hati dengan penularan kes di luar China akan menyebabkan wabak semakin meluas.

Hubei yang menjadi punca wabak itu merekodkan 103 kematian semalam – angka paling tinggi setakat ini untuk tempoh sehari selepas 91 kematian pada hari Ahad.

Tetapi jumlah kes menurun kepada 2,097 kes berbanding 2,618 kes pada hari sebelumnya.

Namun, ia bukan kali pertama kes baru turun kerana Hubei merekodkan sebanyak 2,841 kes pada 7 Februari lalu dan 2,147 kes pada keesokan harinya.

Setakat ini lebih 42,000 kes jangkitan disahkan di China, selain 319 kes di 24 buah negara termasuk satu kes kematian, menurut WHO.

Para saintis sedang berkejar masa untuk membangunkan ujian dan rawatan, kata WHO dengan 168 makmal di seluruh dunia mempunyai teknologi untuk diagnosis virus berkenaan.

Malah, syarikat-syarikat turut bergelut untuk mendapatkan sampel klinikal virus to menjalankan ujian diagnostik yang dibangunkan mereka.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam menyatakan kebimbangan penularan koronavirus daripada individu yang tidak pernah ke China.

“Ini mungkin tercetus menyebabkan wabak ini semakin meluas,” kata Ghebreyesus kepada wartawan di Geneva. – MalaysiaGazette