Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak jatuh ke tahap paling rendah sejak Disember 2018 berikutan permintaan lemah dari China yang kini diancam wabak koronavirus.

Para pedagang pula menunggu sama ada Rusia bersetuju dengan pengeluar-pengeluar lain untuk mengurangkan bekalan dalam usaha menstabilkan harga.

Minyak jatuh lebih daripada 25% daripada hari kemuncak pada bulan Januari dengan minyak mentah Amerika Syarikat kembali di bawah AS$ 50 setong selepas wabak maut koronavirus menyerang China.

China adalah mengimport minyak terbesar dunia, sekali gus membangkitkan kebimbangan lebihan bekalan global.

Niaga hadapan Brent jatuh sebanyak AS$ 1.20, atau 2.2%, kepada AS$ 53.27 setong, penutupan terendah sejak 28 Disember 2018.

Sementara minyak mentah West Texas Intermediate susut AS$0.75 atau 1.5% kepada AS$ 49.57, penutup terendah sejak 7 Januari 2019.

Ia menyebabkan Brent dan WTI dalam keadaan terlebih jual selama 13 hari dan 14 hari, penurunan terpanjang sejak November 2018.

Premium bulan hadapan Brent berbanding kontrak WTI yang sama WTCLc1-LCOc1, jatuh ke paras terendah sejak Ogos 2019.

“Pasaran minyak terus mengalami tekanan menurun akibat krisis koronavirus, yang telah memberi kesan kepada sektor pengangkutan dan pembuatan China,” kata penganalisis di Eurasia Group dalam satu laporan.

Minyak mentah China dan import gas asli telah jatuh kerana kebanyakan loji penapis di China telah mengurangkan operasi dengan ketara sementara terminal import mengurangkan pesanan untuk penghantaran baru dan beberapa telah mengisytiharkan berada dalam keadaan luar kemampuan.

OPEC dan sekutunya telah melaksanakan pengurangan 1.2 juta tong minyak sehari sejak awal tahun lalu bagi mengurangkan lebihan bekalan dan meningkatkan harga minyak mentah.

Menteri Minyak Algeria, Mohamed Arkab berkata, OPEC telah menasihatkan supaya pengurangan seterusnya dilakukan sehingga suku kedua.

Tetapi, Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak pula memberitahu, Moscow memerlukan masa untuk menilai situasi, sambil menambah pengeluaran minyak mentah AS dijangka perlahan dan permintaan global masih kukuh. – MalaysiaGazette