Orang ramai mematuhi SOP dengan memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di KLIA.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menurunkan unjuran pertumbuhan trafik penumpang pada tahun ini kepada 4.6 peratus hingga 5.7 peratus berbanding lima hingga enam peratus yang dibuatnya pada Disember lalu.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Azmin Zain penurunan pertumbuhan itu adalah disebabkan oleh penularan koronavirus ketika ini.

“Kami menjangkakan penurunan pertumbuhan itu akan meningkatkan lagi kerugian pendapatan syarikat-syarikat penerbangan serta lapangan terbang.

“Namun begitu mengharapkan syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang mengambil inisiatif untuk mengurangkan kemerosotan perolehan,” katanya semasa sidang media selepas membentangkan penerbitan rekomendasi suruhanjaya tersebut bagi mengukuhkan perkembangan industri penerbangan Malaysia hari ini.

Tambah Azmir, semakan menurun unjuran itu hanya disumbang oleh penularan 2019-nCoV kerana penurunan penarafan yang dibuat oleh Lembaga Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) terhadap Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada tahun lepas hanya mempunyai impak minimum kepada pertumbuhan penumpang dan keuntungan syarikat penerbangan dalam jangka masa terdekat.

Ini jelasnya, jumlah penumpang di antara Amerika Syarikat dan Malaysia adalah rendah malah bagi Malaysia, hanya AirAsia X sahaja terbang ke Honolulu, AS.

Bagaimanapun, sekiranya pihak berkuasa penerbangan China, Jepun dan Korea Selatan bertindak menyekat syarikat penerbangan Malaysia terbang ke negara mereka disebabkan perkara tersebut, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan AirAsia X serta Malindo mungkin boleh kehilangan perolehan sebanyak RM4 bilion tahun ini.

Sebelum ini, China, Jepun dan Korea Selatan pernah menyekat syarikat penerbangan Thailand daripada terbang ke ketiga-tiga negara berkenaan sebaik sahaja FAA menurunkan penarafan negara gajah putih itu.- MalaysiaGazette