Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merupakan saksi perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak yang melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansordi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Saksi ke-5 kes perbicaraan rasuah projek solar bernilai RM5 juta sebentar tadi mengakui dirinya ragu dan tidak yakin dengan kemampuan Jepak Holdings Sdn Bhd  mampu melaksanakan projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Namun, menurut bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, beliau tidak pula cuba untuk berbincang tentang perkara tersebut dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah kata Mahdzir, beliau juga tidak rasa ada keperluan untuk berbincang tentangnya di mesyuarat Kabinet mahupun Parlimen kerana ianya berada dalam ‘skop’ Kementeriannya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela, Datuk Jagjit Singh ketika perbicaraan kes itu sebentar tadi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Jagjit: Saya sebenarnya hendak tahu mengapakah walaupun dalam keterangan kamu kata amat tidak yakin Jepak Holdings mampu laksana. Maknanya anda tidak yakin dengan kemampuan mereka.

Jadi mengapakah tidak cuba untuk berbincang tentang keraguan itu dengan Perdana Menteri? Dalam mesyuarat Kabinet mahupun sesi Parlimen?

Mahdzir: Ini projek yang di bawah seliaan Kementerian Pendidikan jadi saya rasa tidak ada keperluan berbuat demikian.

Jagjit: Saya katakan kepada anda sebenarnya anda tidak laksanakan tanggungjawab sebagai Menteri dengan amanah kerana ada ‘wang’ masuk dalam poket kamu pada masa itu.

Mahdzir: (dengan wajah tenang). Saya tidak setuju dengan cadangan kamu.

Sebelum itu, Jagjit juga ada bertanya  Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakan niaganya Rayyan Radzwill Abdullah adalah kroninya.

Jagjit: Anda kata tadi Rayyan adalah wakil Jepak, jadinya Rayyan adalah kroni bukan begitu?

Mahdzir: Bila masanya Saidi dan Rayyan ini kroni saya? Saya langsung tidak setuju.

Jagjit: Kamu ambil duit dari mereka, itu bermakna kamu adalah kroninya.

Mahdzir: Tidak setuju. Tidak setuju.

Dalam pada itu, Jagjit dan Mahdzir juga kelihatan seperti ‘bertekak’ dan hampir tegang seketika ketika perbicaraan sebentar tadi.

Jagjit secara tegas dan nada tinggi berterusan menempelak Mahdzir tidak begitu konsisten dengan jawapannya dalam mahkamah ketika soal balas.

Mahdzhir: Dari awal lagi kamu asyik tuduh saya tidak konsisten. Itu sahaja kamu cakap.

Jagjit: (Sambil senyum dengan wajah tegas) Sampai mati saya akan cakap kamu tidak konsisten jika saya boleh.

Mahdzhir: Janganlah cakap begitu.

Suasana perbicaraan gamat seketika pada masa itu dengan ramai gelak ketawa sehingga menyebabkan Jagjit dan Mahdzir sendiri akhirnya ketawa.

Mahdzir berkata demikian dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan. –MalaysiaGazette