Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. foto AFIQ RAZALI, 12 FEBRUARI 2020.

SHAH ALAM – Usul undi percaya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bukan perkara baharu bahkan ia sudah dilakukan lebih awal oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan sokongan itu walaupun dibawa oleh ahli Parlimen Pas nanti.

“Kita sudah sokong Dr Mahathir lama sebelum Pas.

“Tak pernah dengar la kan kalau ahli Parlimen (pembangkang) nak sokong, selalunya pembangkang tak sokong,” katanya kepada pemberita di Hotel Grand Blue Waves, di sini, hari ini.

Terdahulu Wan Azizah merasmikan penutupan Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 anjuran Institut Darul Ehsan (IDE).

Sabtu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ahli-ahli Parlimen Pas akan membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, Mac ini.

Menurut Takiyuddin, tindakan itu bertujuan untuk meredakan keadaan susulan banyak khabar angin yang ditimbulkan oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri.

Selain itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengesahkan bahawa kesemua 18 Ahli Parlimen Pas sebulat suara menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga habis penggal ini. – MalaysiaGazette