LUMUT – Seorang remaja lelaki hilang, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan oleh air pasang semasa sedang berjalan kaki dari Pulau Giam kearah pantai Teluk Nipah, dekat Pulau Pangkor, petang ini.

Fenomena air laut surut yang sedang berlaku di Pulau Pangkor menyebabkan ramai pelawat mengambil peluang untuk menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan kaki, namun hari ini aktiviti itu berakhir dengan membawa tragedi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kejadian berlaku semasa Mohd Nazrul Helmi Nazri, 17, dipercayai sedang berjalan untuk kembali ke pantai Teluk Nipah bersama dua lagi rakannya selepas mengunjungi Pulau Giam.

“Semasa dalam perjalanan pulang ke Teluk Nipah, berlaku air pasang dan ketiga-tiga mereka terus hanyut, namun dua daripada mereka berjaya diselamatkan oleh bot membawa pelancong yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, satu pasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor yang diketuai Muzaidi Mohamad bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 3.49 petang, dan operasi mencari ketika ini sedang digiatkan. – Bernama