Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar bersama sebahagian pelajar pada Majlis Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2020.

BANGI – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui cabaran bagi menggalakkan budaya membaca di negara ini adalah berpunca daripada pengaruh digital ke atas masyarakat.

Menurut beliau, pengaruh digital sangat besar kepada masyarakat sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan.

Justeru itu katanya, pengaruh digital yang semakin pesat membangun boleh menjadi gelanggang untuk menyebarkan berita palsu dengan mudah.

“Yang membimbangkan ialah sumber pembacaan di dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan sehingga ia menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu fake news dan lain-lain kandungan yang merosakkan masyarakat.

“Di sinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini – untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan,” katanya selepas melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di Dewan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, usaha membudayakan amalan membaca perlulah disusun secara sistematik dan diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Program demikian hendaklah diadakan secara berterusan dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh semua pihak yang terlibat bagi melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.

“Ini akan menjadi menjadi pemangkin dan tonggak kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya lagi. -MalaysiaGazette