KUALA LUMPUR – Teori penubuhan kerajaan baharu, Pakatan Nasional (PN) jelas menggusarkan sebahagian ahli politik sehingga mereka dilihat tidak senang duduk.
Bagaimanapun, bagi Pergerakan Wira Putra Malaysia, sayap parti yang masih berkecuali dari Pakatan Harapan (PH) mahupun blok pembangkang, pihaknya sentiasa menyokong sebarang usaha membanteras kegiatan politik tidak sihat.
Teguran itu yang disampaikan Ketua Penerangannya, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun turut menasihatkan kedua parti itu agar berhenti berpolitik dari memainkan isu kaum, seolah bumiputera sangat primitif serta lupa asal usul.
“Rakyat memberi mandat dan harapan tinggi kepada PH menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional (BN) kerana mahu melihat kerajaan baharu ini mentadbir memacu pembangunan negara dan ekonominya dengan baik.
“Bagaimanapun, selepas hampir dua tahun membentuk kerajaan, jelas tindakannya mengecewakan rakyat.
“Jadi, tidak hairanlah jika PN ini disambut baik oleh rakyat termasuk Pergerakan Wira Putra sendiri yang mengharapkannya menjadikan kenyataan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Meor Mohd Hilmi, bangsa yang berjaya mempunyai jati diri waja dan berani untuk mengubah sesuatu bayangan itu menjadi realiti sebagaimana sebelum ini sering kedengaran laungan “demi rakyat” dan “kepada rakyat”.
Namun, kata beliau, kini tidak lagi kedengaran ungkapan itu, sebaliknya rakyat siang malam dihidangkan dengan wayang pacak satira politikus sehingga akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Katanya, peranan pembangkang bukan dalam lingkungan sekadar semak dan imbang kepada kerajaan dalam Dewan Rakyat sahaja, malah lebih daripada memberi perhatian kepada isu kritikal melibatkan rakyat.
“Berjuanglah sebaiknya untuk rakyat, berkhidmatlah seagresif mungkin demi rakyat dan kembalikan semangat perjuangan membela rakyat serta menjaga kepentingan negara yang seharusnya itulah agenda nombor satu mereka.
“Bukan bersatira politik murahan picisan dan mempamerkan bakat memanjat tembok apabila rakyat hadir berdepan, sebaliknya ketepikan ideologi kedudukan, pangkat, kuasa dan habuan politik masing-maasing.
“Jika mereka tidak mahu berubah dan masih kekal dengan matlamatnya sedia ada, jangan tanya kenapa rakyat menjadikan kita sebagai ilham jenaka di kaca televisyen,” katanya. – MalaysiaGazette
















