Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas berhubung Kluster Penyakit Novel Coronavirus (Covid-19) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 14 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing bagi mengisi keperluan kilang pengeluaran topeng muka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu diputuskan oleh Kabinet bagi membolehkan pengilang menambah pekerja asing untuk memenuhi keperluan.

“Kabinet melalui KDN telah pun memberi kelonggaran kepada pengambilan lebih ramai pekerja asing untuk penghasilan lebih banyak topeng muka.

“Kita perlu lebih ramai pekerja dan mereka mendapat pelepasan untuk kilang-kilang itu mendapat tiga shift untuk 34 jam operasi untuk mengeluarkan topeng muka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah juga berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan membenarkan peniaga menjual topeng muka secara pukal.

“Kita dapati ada pihak bawa banyak troli untuk ambil topeng muka untuk dihantar ke luar negara.

“Kita tak benarkan, mereka ada kouta untuk dijual supaya negara dan rakyat kita mendapat bekalan yang mencukupi.

“Kalau dihantar ke luar negara, kita tak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette