Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tidak berlaku isu kekurangan pasport sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mempercepatkan perolehan kontrak kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) sebagai pembekal cip sekitar tahun 2015.

Demikian kata bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan KDN sebagai saksi perbicaraan tuduhan rasuah yang dihadapkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga bekas Menteri Dalam Negeri.

Datuk Abd Aziz Md Nor berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dalam prosiding mahkamah hari ini.

Ahmad Sazilee: Ketika itu adakah berlaku kekurangan pasport?

Abd Aziz: Tidak ada isu kekurangan pasport.

Terdahulu peguambela Ahmad Zahidi, iaitu Hamidi Mohd Noh mencadangkan kepada saksi bahawa penganugerahan kontrak pembekal cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) disebabkan pembekalan pasport pada waktu tersebut pada tahap maksimum.

Dalam masa yang sama, pembelaan bekas Ahmad Zahid itu mencadangkan pemilihan dibuat kerana terbukti syarikat tersebut mampu membekalkan cip yang selamat memandangkan pasport melibatkan isu keselamatan.

Bekas SUB itu bagaimanapun mengakui bahawa Datasonic mampu membekalkan cip yang selamat dengan menyifatkan prove of concept membuktikannya baik dan berjaya.

Hamidi: Setuju dengan saya bahawa Surat Setuju Terima (SST) perlu dipercepatkan berdasarkan prove of concept selain user acceptance test berdasarkan ujian dijalankan oleh pihak berbeza.

Abd Aziz: Selain itu ada perkara lain. (Saya) Tidak setuju sepenuhnya.

Beliau selain itu berkata, laporan tidak akan disampaikan oleh KDN kepada Kementerian Kewangan sekiranya cip pasport yang dibekalkan oleh syarikat itu tidak terbukti boleh digunakan seiring dengan aspek keselamatan yang perlu diutamakan.

Semalam, beliau memberitahu mahkamah yang Ahmad Zahid yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengeluarkan arahan melalui minit mesyuarat agar proses pengeluaran SST kepada syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) berkaitan pembekalan cip pasport dipercepat.

Jelasnya, Ahmad Zahid telah mengeluarkan arahan tersebut kepadanya melalui minit bertarikh 13 Oktober 2015.-MalaysiaGazette