Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional mendeak agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku, penyelewengan dan skandal dalam Lembaga Tabung Haji.

Menurut kenyataan Muafakat Nasional, penubuhan segera suruhanjaya itu selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam itu terus terpelihara.

Katanya, ia bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dalam Tabung Haji yang sehingga kini tiada seorang pun didakwa ke muka pengadilan sehingga pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuk ura-ura pengurangan subsidi mengerjakan haji atas justifikasi konsep Istitha’ah.

“Terbaru, isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset hartanah Tabung Haji bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewanganb, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd,” katanya dalam kenyataan bersama yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut mereka, aset-aset yang dilupuskan itu termasuk tanah di Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM400 juta dan hotel-hotel Tabung Haji seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan institusi itu.

Tambah kenyataan itu, sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah haji tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

Katanya, kecemerlangan Tabung Haji sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus setelah ditolak zakat sebanyak 2.5 peratus. – MalaysiaGazette