Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalami video syang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan rakyat dan ahli parti sebagai pertimbangan paling utama dalam menentukan hala tuju parti pada masa depan.

Kata Datuk Seri Najib Razak, rakyat dan ahli memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan UMNO dan BN seterusnya mengukuhkan sokongan semenjak menjadi pembangkang.

“Dalam kita membuat apa-apa keputusan dan hala tuju dalam UMNO atau BN terlebih dahulu kita perlu memikirkan dua pihak yang paling utama dan pertama sekali dalam pertimbangan kita ialah rakyat.

“Adakah yang terbaik untuk rakyat dan negara, apakah sistem politik yang rakyat mahu lihat? Apakah mesej rakyat yang boleh kita tafsir daripada tuntutan PRK, PRK, selepas PRU-14 dan sejak 2019 bermula dengan PRK Cameron Highland sehinggakan baru-baru ini suara untuk meminta bubar Parlimen semakin kuat kedengaran.

“Ingat. Ada lima PRK memberikan angka-angka yang mengejutkan kepada dua pihak, kepada BN mahupun Pakatan Harapan

“Kedua, akar umbi dalam UMBO dan BN, semasa UMNO berada pada lowest point sepanjang tahun 2018, parti kita bagaikan terumbang ambing, dilambung gelombang dan badai ombak.

“Mereka yang disangka kawan meninggalkan kita, mereka yang kita jaga, layan dan julang bertahun-tahun lamanya tidak mahu pun duduk semeja dengan kita lagi yang tinggal akhirnya siapa? Mereka di akar umbi, yang jujur, yang ikhlas yang setia kepada perjuangan kita untuk rakyat,” katanya menerusi video siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, suara dan tuntutan rakyat dan akar umbi perlu dihormati kerana setia menyokong parti.

Meskipun pernah berhadapan dengan kekalahan namun Najib menyifatkan sokongan rakyat kini bertambah kukuh selepas UMNO dan Pas menjalinkan Muafakat Nasional ditambah pula sokongan daripada parti komponen BN.

“Saya ingatkan sokongan rkayat semakin mantap dan kukuh. Apabila permuafakatan nasional yang diterajui UMNO dan Pas serta disokong parti dalam BN dan mendapat tempat di hati rakyat,” kata beliau.

Bersempena mesyuarat Agung Cawangan dan Bahagian UMNO yang akan bermula hujung minggu ini sehingga 15 April nanti, Najib menasihatkan semua ahli parti menggunakan peluang itu untuk merapatkan saf perjuangan.

“Sehubungan itu saya menyeru kepada semua ahli UMNO agar mengambil peluang ini untuk merapatkan saf perjuangan kita.
UMNO bukan milik mana-mana individu atau pihak, UMNO milik rakyat dan akar umbi UMNO yang setia.

“Dengar dan hormatilah isi hati akar umbi ini, merekalah yang paling layak menentukan hala tuju UMNO. Saya yakin kita yang kekal setia masih bersama dengan BN akan meneruskan bahtera rakyat ini,” tambahnya.

Terdahulu Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN mendedahkan menerima banyak pertanyaan tentang perkembangan terkini termasuk persoalan tentang hala tuju UMNO terutama isu ada ahli parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan sehingga habis penggal ini.

Ini dipercayai ekoran daripada laporan sebuah portal berita berbahasa Inggeris mengatakan seramai 138 ahli parlimen telah menandatangani SD bagi menyokong supaya Perdana Menteri kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.

Portal itu melaporkan ia antaranya membabitkan 18 MP Pas, 26 MP PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 MP UMNO dan 26 MP Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).- MalaysiaGazette