Wan Hassan Mohd Ramli

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persetujuan bahawa anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama bapanya mendapat sambutan baik pemimpin.

Keputusan itu secara tidak langsung dilihat sebagai langkah mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap undang-undang Islam khususnya melibatkan Fiqh Munakahat atau hukum hakam kekeluargaan.

Menurut Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, keputusan penghakiman itu adalah selari dengan objektif perundangan syariah yang bertujuan memelihara maruah dan keturunan manusia.

Hal ini, katanya, akan memberi implikasi besar antaranya kepada isu perkahwinan, aurat dan perwarisan.

“Saya sangat berbesar hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengiktiraf kedudukan fatwa yang telah diwartakan sebagai salah satu rujukan penting kepada perundangan sivil.

“Saya setuju sekiranya kerajaan dan Dewan Rakyat meminda Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 dengan memasukkan peruntukan khusus mengenai isu penamaan bagi anak orang Islam selaras ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada Khamis dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak dibin atau dibinti dengan nama peribadi orang yang diketahui ialah bapa kepada anak itu (responden pertama dalam kes rayuan ini).

Menurut Wan Hassan, statistik anak tidak sah taraf di Malaysia sangat tinggi iaitu mengikut data dari 2010 hingga 2018, jumlah anak tidak sah taraf beragama Islam mencecah seramai 172,811 orang.

Kata beliau, sebahagiannya lahir melalui ikatan perkahwinan yang sah, tetapi tidak berdaftar, manakala selebihnya anak hasil perbuatan luar nikah.

“Jumlah yang tinggi ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya daripada keluarga mahupun kerajaan.

“Mereka mungkin berhadapan dengan stigma negatif masyarakat, namun hak baginya juga perlu ditunaikan,” katanya. – MalaysiaGazette